PENYANYI dangdut era 1980-an, Zaleha Hamid meninggal dunia di Hospital Sultanah Aminah Johor Bahru Johor kira-kira pukul 8 malam Khamis.
Berita sedih itu dikongsi oleh suami Allahyarham iaitu Ungku Sulaiman Ungku Aziz yang memaklumkan isterinya sudah seminggu dirawat di hospital akibat jangkitan kuman pada paru-paru.
Allahyarham menghembuskan nafas terakhir pada usia 68 tahun.
Allahyarham Zaleha terlantar sakit sejak tahun 2020.
"Arwah sudah seminggu dimasukkan ke hospital. Keadaan arwah masih okay awal pagi tadi, tetapi mula mengalami sesak nafas sebelah petang.
"Keadaannya mula nazak dan arwah menghembuskan nafas terakhir malam ini. Saya sempat mengajar arwah mengucap," katanya ketika dihubungi mStar.
Menurut Ungku Sulaiman, urusan berkaitan pengebumian masih belum dapat dipastikan memandangkan proses pengurusan masih dijalankan di unit forensik hospital tersebut.
"Kami belum putuskan sama ada nak bawa pulang jenazah ke kediaman kami atau ibu saya," katanya.
ARTIKEL BERKAITAN: Zaleha Hamid Sangkal Dakwaan Artis Veteran Boros Masa Muda
ARTIKEL BERKAITAN: Sheqal meninggal dunia
Awal bulan ini, Ungku Sulaiman memberitahu keadaan arwah kembali terjejas berikutan kandungan kalsium berlebihan dalam otak sehingga mengalami kekejangan.
Media sebelum ini melaporkan Zaleha terlantar sejak 2020 akibat angin ahmar selepas terjatuh di bilik air rumahnya.
Kejadian dikatakan berlaku selepas dia pulang dari Kuala Lumpur bagi menghadiri siaran langsung program pentas akhir Gegar Vaganza (GV) musim keenam pada 22 Disember 2020.
Arwah sudah seminggu dimasukkan ke hospital. Keadaan arwah masih okay awal pagi tadi, tetapi mula mengalami sesak nafas sebelah petang.
UNGKU SULAIMAN UNGKU AZIZ
SUAMI ZALEHA HAMID
Zaleha adalah penyanyi dan penghibur yang terkenal di Malaysia dan Singapura, selain antara perintis awal kepada irama muzik dangdut di Malaysia.
Beliau turut digelar Ratu Dangdut Malaysia dan Ratu Dangdut Singapura.
Zaleha mula berkecimpung dalam dunia seni sejak berusia 5 tahun bersama bapanya, Abdul Hamid Tambi Kecik menjayakan persembahan Panggung Bangsawan yang terlibat dengan persembahan muzik sekitar 60-an.
Antara lagu terkenal Allahyarham yang masih diingati sehingga kini adalah Dangdut Reggae, Kerana Pengalaman, Nasib Janda, Jangan Segan Segan, Pria Idaman, Jangan Kau Tangiskan dan Teruna Idaman.
Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube