GARA-GARA membawakan watak lelaki panas baran dalam drama Dia Bukan Syurga, pelakon Niezam Zaidi berdepan pelbagai kecaman di media sosial.
Malah Niezam, 33, dilihat berjaya membuatkan penonton mula membencinya sehingga ada yang mendakwa sifat peribadinya sama seperti watak Tajul yang dilakonkan.
Bagaimanapun, Niezam mengambil perkara itu dari sudut positif dan hanya mampu tersenyum membaca komen-komen buruk tersebut.
Lakonan Niezam sebagai Tajul buatkan penonton tak senang duduk.
"Saya ada menerima komen yang mengatakan saya ini memang lelaki gila dan panas baran. Sebab itulah saya boleh bawa watak Tajul.
"Tapi jujur saya katakan untuk segala komen negatif, saya hanya senyum sahaja.
"Namun kalau menerima komen positif dan membina, saya akan tekan tanda suka atau membalas komen mereka," katanya ketika dihubungi mStar.
Enggan mengambil pusing setiap kecaman yang diterima, Niezam sebaliknya lebih memberi tumpuan kepada mesej utama drama berkenaan.
ARTIKEL BERKAITAN: Anggap tiada jodoh, Fify Azmi sahkan hubungan dengan Niezam Zaidi sudah berakhir
ARTIKEL BERKAITAN: [V] Niezam Zaidi sedang diulit bahagia, tak main-main berkawan dengan Fify Azmi
Jelas aktor itu, masyarakat perlu mempunyai kesedaran tentang penyakit gangguan mental kerana ia sememangnya wujud dan bukan perkara yang boleh dibuat main.
"Apa yang penting, saya mahu memberikan kesedaran kepada penonton melalui watak ini.
"Ini kerana, penyakit gangguan mental memang wujud dan bukannya dibuat-buat.
Gandingan Niezam dan Ezzanie terima pujian ramai.
"Jadi melalui karya ini orang ramai boleh lihat bagaimana kehidupan atau cara layanan mereka yang menghidap penyakit sebegitu," jelasnya.
Selain Niezam, pelakon lain yang turut membintangi drama Dia Bukan Syurga ialah Ezzanie Jasny, Nazim Othman, Syazuwan Hassan, Qazem Nor, Sharul Kamal dan Dayana Roza.
Drama arahan Rashid Sibir itu bersiaran setiap Isnin hingga Khamis pukul 9 malam menerusi saluran Astro Ria (104).
Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube