LEBIH setahun menanti, pelawak dan pengacara Azrul Zaidi masih belum menerima bayaran RM300 atas hasil kerja yang dijanjikan oleh seorang pengarah bagi pembikinan video pesanan khidmat masyarakat (PSA).
Malah Azrul atau nama sebenarnya Asrul Zaidi Jamaludin, 51, meluahkan rasa terkilan apabila niat murni untuk membantu rakan yang kekurangan modal dibalas dengan janji kosong dan sikap lepas tangan.
“Selalunya anak seni ini sering dijanjikan dengan perkara yang tidak ditepati. Saya jenis tak kisah berapa bajet produksi, kalau harganya okay saya terima sahaja.
Azrul sebelum ini meluahkan rasa kesal di Instastory miliknya.
“Namun apabila selesai buat kerja untuk bayaran RM300 itu, saya kini sudah menunggu hampir setahun untuk dibayar.
"Setiap kali saya mesej jawapan sama diterima, katanya sudah maklumkan kepada pihak kewangan,” katanya ketika dihubungi mStar pada Selasa.
Lebih mengecewakan, sebelum ini pengarah berkenaan berjanji untuk memberikan tawaran pekerjaan baharu, namun selepas mendapat dana mengarahkan sebuah drama, namanya tidak disenaraikan sebagai pelakon.
ARTIKEL BERKAITAN: Azrul tolak permintaan isteri Along Cham mohon sumbangan, rasa sangsi asyik ditanya ‘bila nak masukkan duit?’
ARTIKEL BERKAITAN: Haneesya Hanee tuntut bayaran RM1,000, beri tempoh 2 hari sebelum buat laporan polis
Kata Azrul, dia turut mempersoalkan produksi tersebut yang lebih memilih penyanyi untuk membintangi drama berkenaan.
“Dua hari lepas (Ahad) saya nampak dia muat naik hantaran di media sosial mengatakan dia dapat mengarahkan sebuah drama.
“Tapi apa yang membuatkan saya lebih geram adalah mana janji-janji dia yang mengatakan sebaik dapat tawaran besar dia berjanji untuk cari saya?
“Lebih mengecewakan dia ambil penyanyi untuk berlakon dalam drama terbitannya. Saya tak nafikan bab rezeki ini, cuma tertanya-tanya kenapa penyanyi yang diambil berlakon,” ujarnya.
Enggan dirinya terus dipijak dan terus dipergunakan, Azrul berkata, dia nekad meletakkan harga standard bagi setiap tawaran termasuk dalam bidang lakonan atau pengacaraan.
Azrul terkilan niat baiknya membantu rakan akhirnya dipergunakan.
"Apabila sampai satu tahap saya nekad untuk meletakkan harga untuk setiap kerja yang ditawarkan.
“Dulu saya tidak menetapkan sebarang harga untuk kerja yang dihasilkan, sebaliknya saling berbincang dengan pihak produksi.
“Tapi sekarang saya akan menetapkan harga minimum. Jika ada yang tidak bersetuju, saya terpaksa tolak tawaran tersebut,"katanya.
Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube