BERBEZA karakter dengan adik-beradik lain, anak sulung kepada usahawan kosmetik Datuk Seri Aliff Syukri dan Datin Seri Nur Shahida iaitu Ammar Ahyan bercita-cita mahu menjadi seorang ahli politik.
Menurut Shahida, 40, Ammar seorang anak yang patriotik selain mempunyai hala tuju dan perancangan masa depan termasuklah memasang impian menyertai parti politik.
"Ammar sayang anak bangsa, memang cita-cita dia nak jadi ahli politik. Dia pernah kata selepas habis sekolah dia akan daftar menjadi ahli Umno.
Ammar (di belakang) bersama Aliff dan tiga orang adiknya.
"Dia ada hala tuju dan pandangan yang jelas. Setiap anak lain-lain perangai. Tapi tak tahulah kenapa dia pilih Umno, tak faham," katanya semasa siaran langsung di TikTok.
Menurut Shahida, dia dan suami jarang berkongsi pendapat mengenai hal politik negara namun tidak menyangka minat anaknya ke arah itu.
Namun sebagai ibu, Shahida memberitahu dia tidak menghalang sebaliknya menyokong penuh minat Ammar, 17.
"Saya dan suami dua-dua tak minat politik tapi tak tahu kenapa anak terjebak. Sampai kadang terfikir aku bersalin dekat hospital tertukar anak ke? Lain sangat perwatakan.
ARTIKEL BERKAITAN: Umur 13 tahun baru merasa telefon sendiri, Aliff Syukri tak mahu manjakan anak-anak – “Kalau boleh nak beli paling murah!”
ARTIKEL BERKAITAN: Aliff Syukri dah nasihat ahli keluarga, jaga aib tak suka hal dalam rumah viral
"Saya tak pernah ajar anak saya. Kita memang berbeza pendapat tapi tak pernah cerita hal politik di rumah.
"Jika itu pilihan dia okaylah. Dia sudah lebih besar dan bijak. Sebagai emak saya sokong sahaja," kongsinya.
Cerita Shahida, anaknya itu juga pernah merampas rokok elektronik milik sekumpulan remaja bawah umur sewaktu pulang ke kampung di Sabak Bernam, Selangor.
Disebabkan tindakan Ammar itu, adik-beradik yang lain iaitu Qadejah dan Ibraheem menjadi mangsa ejekan remaja berkenaan.
Aliff dan Shahida mempunyai enam cahaya mata bersama.
"Dia pernah ambil vape budak kampung, Ammar ugut mahu lapor polis kalau tak beri.
"Lepas itu budak-budak itu berdendam, mereka naik basikal dan ejek anak-anak saya yang lain. Dia orang marah dekat Ammar sebab ambil vape," ujarnya.
Untuk rekod, Aliff mendirikan rumah tangga dengan Shahida pada Ogos 2007.
Selain Ammar, pasangan ini mempunyai lima lagi cahaya mata iaitu, Qadejah El Zahra, Ibraheem Adham , Yusoff Al Qardawi, Raudah Arshiyah dan Luqman Al-Hakim.
Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube
TONTON VIDEO PILIHAN!