suria

Luahan isu bayaran raih perhatian, Sufi Rashid ajak Caliph Buskers buat konsert

Caliph Buskers ada impian mahu mempunyai konsert sendiri.

LUAHAN kumpulan Caliph Buskers berkaitan isu bayaran sebelum ini menerima reaksi pelbagai pihak. 

Salah satu khabar gembira yang diterima apabila penyanyi dan juga penganjur acara iaitu Sufi Rashid berhasrat mahu mengadakan konsert buat mereka. 

Meskipun masih dalam perbincangan, Azmi selaku vokalis Caliph Buskers berkata ia bagaikan satu impian jadi kenyataan buat semua anggota lain. 

Caliph Buskers dan Sufi masih dalam perbincangan untuk adakan konsert.

"Ikutkan kami memang nak sangat, tapi semuanya masih dalam fasa perbincangan.

"Untuk ada konsert sendiri ni memang impian kami dari dahulu lagi. 

"Kami sudah banyak kali berurusan dengan Sufi, terbaharu memang dia ada suarakan mahu adakan konsert buat Caliph Buskers," katanya ketika dihubungi mStar pada Isnin. 

Azmi berkongsi perkara itu sebagai respons hantaran yang dimuat naik sebelum ini mengenai pihak penganjur yang memberikan tawaran harga rendah buat mereka. 

ARTIKEL BERKAITAN: Sedekad bergelar anak seni macam tiada makna, penganjur tergamak tawar Caliph Buskers RM500 buat persembahan

ARTIKEL BERKAITAN: Azmi Saat tak terfikir minta sedekah demi kelangsungan hidup, kekurangan diri bukan alasan ambil kesempatan

Susulan itu, dia tidak menyangka ramai yang mula memberi perhatian terhadap kumpulan Caliph Buskers termasuk setiap perkongsian di media sosial. 

Bagi Azmi luahan tersebut sedikit sebanyak telah membuka mata ramai mengenai kewujudkan kumpulan mereka yang sudah bertapak dalam industri seni sejak sedekad lalu. 

"Seronok dan bersyukur bila masyarakat sudah mula ingat kumpulan kami. Sekarang apa-apa perkongsian kami di media sosial pun sudah makin banyak tanda suka serta komen. 

"Selepas kami bersuara tempoh hari, sedikit sebanyak ia membantu menaikkan kembali nama kumpulan," jelasnya.

Luahan Caliph Buskers tentang isu bayaran mendapat perhatian ramai.

Pada 7 Mei lalu, Caliph Buskers mendedahkan mereka masih berdepan masalah dengan sikap penganjur yang menawarkan harga rendah dan tidak setimpal. 

Kumpulan ini memberitahu harga yang ditetapkan mereka adalah wajar bagi memenuhi keperluan persembahan selain bayaran tersebut perlu dibahagikan bersama antara tiga anggotanya.

Selain Azmi, Caliph Buskers turut dianggotai oleh Nirwan dan Zaki.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

TONTON VIDEO PILIHAN!

Artikel Lain