suria

Terpaksa berkampung di hospital tapi Zara Zya masih sempat ‘lari’ selesaikan kerja

Zara kini masih dalam pemantauan doktor.

DALAM keadaan kesihatan kurang baik dan masih di bawah pemantauan doktor, pelakon Zara Zya masih sempat memenuhi undangan sebuah program.

Kata Zara atau Zainurul Razia Mohd Zainuddin, 39, dia terpaksa mengikuti program berkenaan kerana tuntutan kerja.

Zara bagaimanapun sudah mendapat nasihat doktor dan kembali meneruskan rawatan di hospital selepas menyelesaikan kerja berkenaan pada malam Khamis.

zara zya 3

Zara melihat dugaan ini sebagai satu tempoh untuk berehat.

"Saya keluar sekejap sebab ada urusan kerja membabitkan pelanggan. Namun bukanlah kerja yang berat dan saya kembali ke hospital selepas selesai.

"Mujurlah doktor beri pelepasan sekejap untuk penggambaran program tersebut," katanya kepada mStar.

Zara dimasukkan ke sebuah pusat perubatan di Kuala Lumpur sejak Isnin lalu selepas dikesan menghidap sindrom Cervical Facet Syndrome dan Lumbar Facet Syndrome.

ARTIKEL BERKAITAN: Menakutkan! Zara Zya masih diganggu lelaki psiko, cuba bersabar tapi makin melampau

ARTIKEL BERKAITAN: Hilang sabar terima gangguan seksual, Zara Zya buat laporan polis

Dia juga berkongsi video menjalani penggambaran sebuah program di Instastory miliknya.

Menurutnya masalah tersebut dapat dikesan apabila melakukan pemeriksaan terhadap penyakit artritis yang pernah dihidapi sebelum ini.

"Doktor minta untuk ditahan di wad bagi pemeriksaan lanjut. Selepas melakukan ujian MRI (pengimejan resonans magnet) baru dapat tahu ada masalah di bahagian leher.

"Doktor juga tidak beritahu berapa lama saya akan menjalani rawatan di hospital. Saya sangka masuk hospital sehari sahaja, rupa-rupanya berkampung pula" ujarnya.

Tambah Zara, dia juga melihat dugaan ini sebagai satu tempoh untuk dia berehat dan lebih mengutamakan kesihatan.

"Setakat ini tawaran penggambaran belum bermula lagi, cuma kerja-kerja lain terpaksa tangguh dahulu," jelasnya.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di WhatsApp, Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

TONTON VIDEO PILIHAN!

Artikel Lain