suria

[V] “Makin lama makin melampau” - Amir Ukays bengang kumpulan nama sama masih guna lagu nyanyiannya untuk tujuan promosi

PENYANYI Amir Ukays tidak teragak-agak untuk mengambil tindakan terhadap mana-mana pihak yang menggunakan nama yang sama dengan kumpulannya ketika ini.

Kesal dengan apa yang berlaku, Amir atau Mohd Azmir Muhammad Yusof, 54, berkata dia melihat isu ini masih belum berkesudahan dan tidak menemui jalan penyelesaian.

Malah, sebelum ini dia juga sudah beberapa kali meluahkan rasa tidak puas hati apabila ada pihak lain menggunakan lagu nyanyiannya untuk mempromosikan persembahan mereka.

amir3 - 1

Amir kesal dengan sikap beberapa individu tidak bertanggungjawab.

"Bila saya buka Facebook saya terkejut... ini suara saya. Itu yang saya jadi marah kerana menggunakan suara saya tetapi saya tiada kaitan pun dengan acara itu.

"Saya tak tahu nak cakap apa lagi kerana kalau nak ambil tindakan kita kena berbincang dengan peguam.

"Saya lihat makin lama makin melampau, Ukays band pun dia, Uk’s pun dia, semua dia. Sedangkan dia hanya undangan dan bukannya penyanyi asal," katanya kepada pemberita.

ARTIKEL BERKAITAN: Nyanyian 'live' Amy Search dikecam, Amir Ukays akui faktor usia jadi punca... Umur lanjut, terpaksa turun 'key'

ARTIKEL BERKAITAN: 'Konsert Kasih Pengasih 2023' satukan Iklim, Ameng, Zamani dan Amir Ukays... Inisiatif kumpul dana untuk pusat pemulihan baharu

Dalam pada itu, Amir berpendapat perkara ini masih berlarutan kerana dia tidak mengambil tindakan undang-undang bagi menyelesaikan isu berkenaan.

"Saya rasa sebab kami tidak ambil tindakan undang-undang jadi perkara ini masih lagi berlaku.

"Itu yang saya cakap kami nak kena buat tindakan mahkamah dan melantik peguam. Mungkin itu saja yang boleh menghentikan mereka berbuat demikian," ujarnya.

Penyanyi lagu Di Sana Menanti Di Sini Menunggu ini juga mendakwa kurang menerima 'job' nyanyian kerana kumpulan dimaksudkan itu mengambil tawaran dengan harga rendah.

Saya rasa sebab kami tidak ambil tindakan undang-undang jadi perkara ini masih lagi berlaku.

AMIR UKAYS

PENYANYI

"Ia tidaklah sampai menyekat rezeki saya tetapi lebih kepada menganggu market. Bayangkan mereka buat tawaran dengan harga murah, dah tentu penganjur akan bayar mereka.

"Segala jenis show pun mereka main bedal saja. Bagi mereka, asalkan dapat buat persembahan, tak kiralah dibayar murah mereka okay saja," jelasnya.

amir2 - 1

Amir mahu menuntut keadilan.

Dalam pada itu, Amir berkata isu ini telah menimbulkan kekeliruan dalam kalangan peminat.

"Saya rasa seperti peminat-peminat telah ditipu. Ini cerita betul, ada yang telefon beritahu ingatkan saya yang buat persembahan rupanya orang lain dan mereka terus balik.

"Perkara ini masih mendatangkan kekeliruan kepada peminat. Bukan semua orang tahu Ukays yang ada Amir atau Ukays yang tanpa saya.

"Tunggulah nanti saya pun sedang memikirkan sesuatu macam mana nak tamatkan perkara ini. Sampai bila pun tak habis," katanya.

Untuk info, selain UK's yang dianggotai Amir, terdapat dua lagi kumpulan menggunakan nama sama, tetapi berbeza ejaan iaitu Ukays yang ditubuhkan bekas anggota UK's iaitu Amy.

Manakala, satu lagu kumpulan turut menggunakan nama Ukays yang dianggotai bekas penyanyi mereka iaitu Achik.

amir1 - 1

Amir tidak mahu mengelirukan peminat.

Ukay ditubuhkan pada tahun 1986 dan namanya ditukar kepada Ukays untuk album kedua berjudul Mencari pada 1992.

Ketika penghasilan album keempat, Tajam Menikam pada tahun 1995 nama kumpulan ini ditukar lagi kepada UK's.

Menerusi tujuh buah album studio mereka, Amir adalah penyanyi untuk enam album kecuali album pertama, Tinggal Irama pada 1989 yang menampilkan Zul sebagai penyanyi.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

TONTON VIDEO PILIHAN!

Artikel Lain