suria

Konsert hadiah Lefthanded sempena 40 tahun berkarya, tampil bersama orkestra sebagai kelainan

Lefthanded bakal menggegarkan Plenary Hall, KLCC pada 3 Jun ini.

JIKA bercerita tentang muzik rock tanah air, nama kumpulan Lefthanded pasti akan jadi sebutan dan berada antara 'ranking' teratas dalam senarai rockers selain Search, Wings, May, Bloodshed dan banyak lagi.

Sejak dikenali selepas menyertai pertandingan Juara Rock pada 1983, Lefthanded terus mengorak langkah tanpa menoleh ke belakang lagi.

Kini bersama dua anggota yang cukup sinonim dengan Lefthanded iaitu Man Kidal (gitar) dan Datuk Nash (penyanyi), mereka disertai oleh Hafiz Dayak (dram), yang juga anak bekas pemain dram Lefthanded, Allahyarham Man Dayak, Ritz (gitar), Rio Rasul (keyboard) dan Fly (bass).

Mereka bersama kumpulan orkestra yang bakal diumumkan nanti akan menggegar dengan Konsert Lefthanded 40 Tahun Rockestra di Plenary Hall, Kuala Lumpur Convention Centre pada 3 Jun ini jam 8.30 malam.

TRF00494

Lefthanded bakal mendendangkan rangkaian lagu popular mereka.

Ia dianjurkan Menara Network Sdn Bhd bersempena 40 tahun penubuhan Lefthanded.

Pengarah Urusan Menara Network Sdn Bhd, Datuk Abdul Razif Asmuni berkata, idea mengadakan konsert ini tercetus apabila dia berjumpa sendiri dengan Man Kidal.

Katanya, kebetulan Man Kidal juga memang merancang untuk mengadakan konsert Lefthanded sempena 40 tahun penubuhan mereka dan pertemuan itu telah membawa kepada idea persembahan berkenaan.

ARTIKEL BERKAITAN: Slam tak puas hiburkan peminat, bakal anjurkan konsert ‘Nurkasih’ Ogos depan

ARTIKEL BERKAITAN: Popular kerana video usik nenek, akhirnya TikToker Adam Shamil cuba nasib jadi penyanyi

“Selepas beberapa perbincangan, akhirnya impian ini menjadi kenyataan,” katanya.

Abdul Razif berkata, Lefthanded menjadi pilihan mereka kerana ia adalah ‘top 3’ kumpulan rock legenda di Malaysia.

“Ada banyak kumpulan rock di Malaysia, tetapi mereka adalah ‘top 3’ seiring dengan Search dan Wings. Mereka ada banyak lagu popular dan diingati kebanyakan peminat muzik tanah air.

“Konsert ini diadakan bersama orkestra kerana mahukan muzik yang lebih rileks. Mereka tetap rock, tetapi dengan orkestra, muziknya akan menjadi lebih lunak. Tidaklah terlalu bingit dan sedap didengar.

Nash

Vokalis Lefthanded, Nash.

"Sesuailah dengan kebanyakan peminat Lefthanded yang kini sudah berusia 40 tahun ke atas. Mereka mahu lebih rileks dan berada dalam keadaan duduk jika menonton konsert,” katanya.

Abdul Razif berkata, konsert berdurasi di antara dua setengah jam ke tiga jam itu juga akan menceritakan mengenai perjalanan muzik Lefthanded selama 40 tahun dari awal hinggalah yang terkini.

Menurut Abdul Razif yang juga penerbit konsert, Lefthanded akan membawa 15 ke 20 lagu dan Rio Rasul sebagai Penggubah Muzik.

Tiket-tiket berharga RM99, RM158, RM238, RM288, RM328, RM488 dan RM588 (Meet & Greet) boleh dibeli di www.ticket2u.com.my.

TRF00461

Persembahan mereka diiringi pemuzik orkestra.

Lefthanded memiliki enam album studio iaitu Keadilan pada 1986, Seruan (1987), Qabul (1988), Evolusi (1989), Fanatisme (1991) dan Syurga & Neraka (1999).

Sebelum itu, mereka pernah tampil dalam dua album kompilasi iaitu Battle Of The Bands I dan II pada 1985 dan 1986 bersama Bloodshed, Rahim Maarof & Whitesteel, Ella & The Boys dan SYJ.

Selain Man Kidal dan Nash, Lefthanded pernah dianggotai Yan (bass), Allahyarham Samad (gitar), Allahyarham Man Dayak (dram) dan Isa (keyboard).

Selain itu, Datuk Ramli Sarip, Allahyarham Arab, Roy, Rahim Maarof dan Hamid pernah menjadi penyanyi Lefthanded.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

TONTON VIDEO PILIHAN!

Artikel Lain