suria

Ibu Neelofa kongsi tip murah rezeki, amal Bismillah 787 kali… Ahli akademi minta netizen henti ikut ‘petua’ selebriti

Ibu Neelofa kongsi amalan murah rezeki jadi pertikaian netizen.

PERKONGSIAN murni sempena kedatangan Ramadan ibu kepada Neelofa iaitu Datin Noor Kartini Noor Mohammed mengenai amalan membaca Bismillah yang boleh dilakukan untuk membuka pintu rezeki mengundang pelbagai reaksi netizen di media sosial.

Ia menjadi pendebatan selepas Noor Kartini berkongsi pantang larang semasa mengamalkan bacaan berkenaan mengikut saranan seorang ulamak terkenal dari Thailand dikenali sebagai Baba Aziz.

"787 kali Bismillahi Rahmani Raheem. Selepas 40 hari kita akan nampak kesan dia, tak boleh tinggal. Tak boleh lebih, tak boleh kurang.

Dr Abu Hafiz tegur amalan ibu Neelofa.

"Masa mama (bahasa dirinya) dapat ini, Baba Aziz kata satu Bismillah ini kalau diletak atas timbangan itu berat dia sama dengan isi bumi. Baca dia boleh pagi, petang dan kumpul sampai 787. Kalau baca berterusan 15 hingga 20 minit boleh siap.

"Kenapa 787 sebab Allah suka ganjil sebab itu tambah satu. Ramai yang kongsi bila amalkan Bismillah ini banyak perubahan dalam hidup kita," katanya menerusi video yang dimuat naik oleh akaun Tweet Islamik.

Dalam perkongsian itu juga, Kartini turut berkongsi beberapa testimoni individu berjaya mendapat rezeki di luar jangkaan setelah mengamalkan ayat tersebut.

ARTIKEL BERKAITAN: [V] Kandungan masuk trimester kedua, Neelofa sudah buat persiapan sambut orang baharu

ARTIKEL BERKAITAN: Neelofa hormat privasi, pilih doa dari komen isu rumah tangga Nabila dan Engku Emran

"Ada pengikut Baba Aziz kata dia amalkan, dari yang kerja biasa-biasa naik pangkat, duduk rumah biasa-biasa boleh duduk rumah semi-D. Banyaklah peningkatan dalam hidup dia.

"Ikut kepada hajat kita, Allah akan bagi berkesesuaian apa yang kita perlu tapi apa sahaja amalam kita kena yakin, InsyaAllah kita akan dapat," katanya lagi.

Perkongsian Kartini itu bagaimanapun menerima pelbagai reaksi daripada netizen termasuklah Penolong Profesor Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) iaitu Dr Abu Hafiz Salleh Hudin yang meminta agar orang ramai tidak mencipta sesuatu perkara yang tiada dalam hadis mahu pun al-Quran.

Hentikan ikut 'petua' selebriti. Zikir, doa dan ibadah telah secara tersusun diajar oleh Nabi SAW.

Dr Abu Hafiz Salleh Hudin

Penolong Profesor Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM)

Abu Hafiz turut meminta agar tip daripada selebriti seperti ini dihentikan kerana setiap amalan haruslah mengikut sunnah dan al-Quran.

"Hentikan ikut 'petua' selebriti. Zikir, doa dan ibadah telah secara tersusun diajar oleh Nabi SAW. Penetapan ulang basmalah 787 itu sendiri sangat bermasalah.

"Dalam hadith sahih ajar istighfar yang ikhlas mampu beri jalan keluar masalah. Kenapa reka yang tiada dalam nas?"

Neelofa bersama ibunya.

"Agama bukan dibina atas pengalaman kita saudara dan saudari. Agama atas dalil. Kena 787? Kalau ganjil, 1,3,5 pun ganjil. Kalau ada orang amalkan dan tak dapat seperti yang didakwa, bagaimana pula? Agama berdasarkan Quran dan Sunnah. Ia mesti ada sumber bukan rekaan," ujarnya.

Pandangan Dr Hafiz itu disokong oleh netizen di laman berkenaan dan rata-ratanya meminta orang ramai mendapatkan rujukan daripada ilmuwan agama bertauliah.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

TONTON VIDEO PILIHAN!

Artikel Lain