suria

Menggeletar ditemu bual media, masalah kesihatan mental Remy Ishak belum pulih

Remy masih takut untuk keluar rumah berjumpa orang ramai.

JELAS daripada riak wajah pelakon Remy Ishak yang kelihatan tidak selesa dan gementar apabila didekati sekumpulan media yang ingin membuat temu bual bersamanya ketika majlis tayangan perdana filem Harum Malam baru-baru ini.

Remy atau Mohammad Zalimie Ishak, 41, mengakui dia masih lagi berdepan dengan masalah kesihatan mental seperti mana pernah dikongsikan sekitar tiga tahun lalu.

Jelas pelakon berkenaan, dia sendiri tidak pasti masalah sebenar dihadapinya malah sehingga ke hari ini wujud perasaan takut berdepan dengan orang ramai.

"Keadaan saya masih belum okey lagi. Nak jumpa orang pun ada rasa takut. Sama juga jika mahu keluar ke lokasi penggambaran namun saya sendiri pun tidak tahu masalah sebenar penyakit ini.

remy 3

Remy mahu fokus kepada kesihatan.

"Sekarang ini pun (ketika ditemu bual) saya menggeletar. Apa pun saya cuba untuk kawal perasaan tersebut," katanya.

Dalam pada itu, Remy berkata, masalah tersebut turut menggangu tumpuannya di lokasi namun berusaha mengatasi segala ketakutan demi survival kerjayanya sebagai seorang pelakon.

ARTIKEL BERKAITAN: 'Sedekad' dedah semua rahsia Remy Ishak termasuk masalah kemurungan

ARTIKEL BERKAITAN: Remy Ishak belum sedia timang anak, takut ‘terkenan’ watak benci kanak-kanak... Bertenang dulu sehingga habis drama

Disebabkan masalah itu juga, Remy berkata, dia berhasrat memperlahankan karier pada tahun ini bagi memberi fokus kepada kesihatan dan pemulihan.

"Berlakon ini adalah minat saya, jadi saya kena teruskan walaupun memang sangat susah dalam keadaan begini. Saya tidak boleh berterusan begini. Kalau dibiarkan bermakna saya mengalah.

Keadaan saya masih belum okey lagi. Nak jumpa orang pun ada rasa takut.

REMY ISHAK

PELAKON

"Untuk tahun 2023 ini saya lebih memberi tumpuan untuk pulihkan diri dan naikkan semula semangat," jelasnya.

Sementara itu bercakap tentang fiem terbaharu arahan Dain Said itu, Remy meluahkan sedikit rasa kecewa apabila ada babak yang terpaksa dikaburkan atas arahan Lembaga Penapisan Filem (LPF).

Melihat keterbukaan dan kebijaksaana masyakarat kini, Remy yakin penonton dapat mengambil iktibar dari kisah yang ingin disampaikan dan bukan hanya melihat babak tersebut sebagai sesuatu yang mencemarkan budaya.

remy 1

Remy muncul dengan filem terbaharu Harum Malam.

"Hiburan juga adalah satu bentuk nasihat. Sekarang ini zaman digital dan penonton boleh menilai perkara baik atau buruk dalam sesebuah karya.

"Saya rasa LPF perlu lebih terbuka dan ada sedikit kelonggaran," ujarnya.

Selain Remy filem tersebut turut menampilkan pelakon lain seperti Idan Adean, Bront Palarae, Nadiya Nissa, Arnie Shasha, Nabila Huda, Amanda Ang, Joey Daud dan Faizal Hussein.

Filem terbitan kerjasama D’Ayu Pictures, Skop Productions dan Apparat ini akan mula ditayangkan pada 9 Februari.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Artikel Lain