suria

Hebat Suria FM! Cipta sejarah The Malaysia Book of Records radio pertama ‘on air’ atas kapal belayar

Suria FM bersiaran secara langsung di atas kapal pelayaran mewah.

STESEN radio Suria FM berjaya mencatat sejarah tersendiri apabila tersenarai dalam The Malaysia Book of Records (MBOR) atas pencapaian bersiaran secara langsung di atas kapal persiaran mewah Genting Dream.

Sejarah itu tercipta apabila mereka bersiaran menerusi segmen Morning Morning Suria yang dikendalikan oleh trio penyampai iaitu Ajak, Suraya dan Shuib pada pagi Selasa.

Pengurus Besar Suria, Roslinda Abdul Majid atau DJ Lin memberitahu siaran ini diadakan bukan sekadar sempena sambutan ulang tahun ke-15 tetapi juga meraikan kejayaan stesen itu melonjak kedudukan tiga radio popular Malaysia tahun 2022.

suria1 - 1

Dj Lin berbangga dengan pencapaian Suria FM.

"Alhamdulillah ini adalah pembukaan tahun 2023 yang sangat bermakna bagi kami dalam memastikan momentum stesen ini terus berada dekat di hati peminat.

"Sebenarnya saya secara peribadi memang berhasrat untuk melakar sejarah dalam MBOR sejak menjawat jawatan pengurus besar pada 2018. Syukur akhirnya tahun ini tercapai berkat sokongan warga kerja kami.

ARTIKEL BERKAITAN: Satu-satunya radio bahasa Melayu catat peningkatan pendengar, Suria FM naik ranking nombor 3... DJ Lin ucap terima kasih atas sokongan

ARTIKEL BERKAITAN: Usaha Suria FM promosi travel di radio dapat pengiktirafan, menang anugerah Media Pelancongan Kreatif Terbaik

"Lebih bermakna siaran ini bakal mendapat pengiktirafan MBOR. Saya melihat kerja keras kami berhasil dan ia menjadi pembakar semangat untuk terus berjaya di masa akan datang," katanya kepada mStar.

Tambah DJ Lin lagi dia bersama pasukan pengurusan telah merancang pelbagai program menarik sepanjang 2023 bagi memastikan misi mereka menjadi stesen radio popular tercapai.

Dalam masa sama mereka juga amat prihatin dan sentiasa mengambil maklum akan kehendak pendengar agar kekal relevan.

Alhamdulillah ini adalah pembukaan tahun 2023 yang sangat bermakna bagi kami.

DJ LIN

PENGURUS BESAR SURIA FM

"Antara program telah dirancang adalah siri jelajah Suria yang pernah dilaksanakan sebelum ini. Berjumpa dengan pendengar adalah cara kami menghargai mereka.

"Kami juga akan meneruskan beberapa lagi sesi turun padang bersemuka dengan peminat dalam program membabitkan team Morning Morning Suria,” ujarnya.

Antara aktiviti yang telah diatur adalah Morning Morning Suria Belanja Makan termasuk projek istimewa sempena Ramadan dan Syawal yang pernah diadakan sebelum ini.

Tambah DJ Lin lagi, kandungan siaran juga akan sentiasa diperbaharui termasuk menambah baik segmen sedia ada.

suria2 - 1

Antara selebriti yang menjadi tetamu undangan Suria FM.

Apa yang pasti Suria akan terus komited memutarkan lagi-lagu hits 90-an serta menjadi antara stesen pertama memutarkan lagu baharu tempatan dan antarabangsa.

Pada siaran pagi itu team Morning Morning Suria membawa tema Suria FM Membelah Samudera.

Tiga artis jemputan turut bersama meraka adalah Siti Nordiana, Amir Masdi dan Andi Bernadee.

Program ini turut mendapat kerjasama daripada Resorts World Cruises.

Lebih istimewa kali ini Suria FM turut membawa lima pemenang bertuah peraduan Suria 15 Tahun yang dijalankan sepanjang November hingga Disember 2022.

Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI

Artikel Lain