suria

Demi maruah dan agama, Syaffiq Sahli tolak filem ada babak cium walau produksi sanggup bayar mahal

Syaffiq tidak mahu gadaikan maruah hanya kerana dibayar dengan harga tinggi.

DEMI menjaga maruah dan agama, pelakon Syaffiq Sahli sanggup menolak tawaran sebuah filem disebabkan perlu melakonkan babak intim.

Kata pelakon berusia 35 tahun itu, pihak produksi tersebut juga menawarkan ‘job’ tersebut dengan meletakkan harga yang tinggi untuk mendapatkan khidmat lakonannya.

Tambah Syaffiq, dia tidak menyangka pihak produksi terbabit tergamak menawarkan kerja lakon seperti itu walaupun sudah mengetahui babak sedemikian sensitif khususnya buat masyarakat Melayu Islam di Malaysia.

"Saya ditawarkan untuk membawakan watak seorang pegawai imigresen dalam sebuah filem. Difahamkan, ia filem indie dan objektifnya untuk masuk pertandingan di festival luar negara.

"Saya tak diberitahu awal ada babak bercium dalam naskhah itu dan agak terkejut kerana produksi juga sedar bahawa saya berbangsa Melayu dan beragama Islam.

Syaffiq

Syaffiq enggan melakonkan babak intimasi.

"Mungkin mereka sanggup meletakkan bayaran yang tinggi, tetapi saya tidak segila itu untuk menerimanya. Babak bercium? Saya masih lagi waras ya!” katanya kepada mStar.

Selain itu, pelakon drama 7 Hari Mencintaiku 2 itu berkata dia tidak pernah melakonkan babak-babak seperti berpeluk apatah lagi perlu bercium.

"Babak yang ditawarkan itu, memang bercium betul-betul. Bukan setakat pegang tangan saja. Adegan peluk pun saya tak buat, apatah lagi kalau nak buat adegan bercium.

"Kita ini Melayu, Islam pula itu. Walaupun memang kerja berlakon, tapi ada batasnya. Itu prinsip saya pegang selama ini. Bagi saya, melampau sangatlah kalau tergamak nak buat babak bercium itu.

ARTIKEL BERKAITAN: Botak kepala demi watak ‘Jihad’, pelakon Syaffiq Sahli reda terpaksa lepaskan dua tawaran drama lain

Babak yang ditawarkan itu, memang bercium betul-betul.

SYAFFIQ SAHLI

PELAKON

"Ibu, bapa dan isteri mestilah tak suka. Tak payah minta keizinan mereka pun, kita sendiri sebagai orang dewasa boleh fikir mana baik dan buruk," katanya.

Sementara itu, Syaffiq menegaskan dia tetap dengan pendiriannya walaupun terpaksa melepaskan peluang untuk meneroka dan mencipta nama di luar negara menerusi tawaran itu.

"Memang saya akui, mungkin terlepas peluang untuk mara ke peringkat antarabangsa, tetapi tak apalah, tak mungkinlah saya sanggup nak langgar hukum syarak.

"Saya dah bincang dan terangkan pada pihak produksi, terpaksa menolaknya dengan cara baik. Pengarah dan produksi secara amnya bukan orang Melayu, jadi mungkin mereka pun tak begitu faham dengan kepercayaan dan pegangan kita.

Syaffiq

Syaffiq mahu menjaga perasaan isterinya.

"Tak apalah, saya pun tak salahkan mereka sepenuhnya. Terus-terang, kalau tak ada babak itu, saya terima saja," katanya.

Dalam pada itu, Syaffiq memaklumkan dia kini sedang menjayakan penggambaran filem genre seram berjudul Bangkitkan Aku Kembali yang diadaptasi daripada karya novelis Sophilea.

Memegang watak utama bernama Zakuan, Syaffiq menerusi naskhah itu bergandingan dengan pelakon lain seperti Amy Nur Tinie, Aishah Azman, Mustaqim Bahadon dan ramai lagi.

Penggambaran yang telah berlangsung selama 10 hari tersebut bakal ditayangkan di saluran Astro First menjelang akhir tahun ini.

Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI

Artikel Lain