suria

3,000 peminat ‘enjoy’ dalam hujan, konsert Search meriah tanpa Amy

Seramai 3,000 peminat datang menonton konsert Search yang berlangsung pada malam, Sabtu. Kredit foto: IG Kem_foto

HUJAN renyai-renyai tidak mematahkan semangat peminat Search untuk terus berdiri menyaksikan persembahan memukau Search Rockin’ On Rooftop.

Konsert yang diadakan di bumbung Kompleks Campbell Complex pada malam Sabtu itu dibanjiri lebih 3,000 pengunjung yang juga peminat kumpulan itu.

ARTIKEL BERKAITAN: Demi kumpulan Search, Denden Gonjalez tolak tawaran sertai band dari Amerika Syarikat... Mahu teruskan karier di Malaysia

ARTIKEL BERKAITAN: Berpecah dua kumpulan tapi guna nama sama, Din dakwa mereka Search sebenar... Vokalis baharu pula bimbang peminat tak terima

Tirai konsert dibuka tepat pukul 9.30 malam dengan lagu berjudul Bencana, Metropolitan dan Pasti disambut dengan sorakan peminat-peminat yang mula berkumpul seawal jam 8 malam.

Search

Peminat seronok tonton konsert Search secara langsung. Foto: IG Kem_foto

Ketiadaan vokalis Amy Search yang mengundur diri dua tahun lalu tidak menjejaskan kumpulan yang ditubuhkan pada tahun 1981 itu untuk tampil memberikan persembahan bertenaga bersama penyanyi baharu Denden.

Search menyampaikan 17 buah lagu hits mereka antaranya Melastik Ke Bintang, Di Pintu Sepi, Fantasia Bulan Madu dan Mentari Merah Di Ufuk Timur.

Kemunculan Ratu Rock, Ella sebagai tetamu undangan juga menambah lagi kemeriahan konsert yang berlangsung selama dua jam 15 minit itu.

Ella tampil dengan menyanyikan dua buah lagu iaitu Melayar Bahtera dan Bayangan duet bersama Denden.

Rata-rata peminat yang hadir terhibur dan menyanyi bersama-sama sepanjang konsert berlangsung bagi melepaskan kerinduan mereka terhadap kumpulan itu.

Terima kasih untuk semuanya kerana terus menyokong kami.

DENDEN GONJALEZ

VOKALIS SEARCH

Ternyata konflik dalaman kumpulan itu tidak langsung merubah hati peminat-peminat mereka untuk terus menyokong kumpulan legenda itu.

Selain vokalis Denden Gonjalez, konsert tersebut dibarisi anggota kumpulan Search iaitu Noordin (gitar), Kid (gitar), Yan (bass) dan Minn (dram).

Sementara itu, Denden yang ditemui selepas konsert berakhir mengakui lega apabila semua yang dirancang berjalan lancar biarpun hujan.

"Alhamdulillah, walaupun hujan... peminat sanggup berbasah demi menyaksikan persembahan kami, syukur.

"Awal-awal gementar untuk menyanyi di hadapan peminat Search yang setia, tapi setelah itu semuanya okay.

Search

Kemeriahan konsert Search di Rooftop.

"Terima kasih untuk semuanya kerana terus menyokong kami, saya akan ingat malam ini sampai bila-bila," ujarnya kepada mStar.

Dalam pada itu, menurut Kid, penghargaan malam ini harus diberikan kepada abangnya iaitu Din yang banyak memberi semangat kepada ahli kumpulan lain untuk meneruskan perjuangan.

"Kredit harus diberikan kepada Din, kita tahu apa yang berlaku, dia bagi semangat untuk legasi Search.

"Din ada tunjang utama malam kni, Terima kasih kepada peminat yang hadir, melihat kepada sokongan malam ini, ia bagi Search semangat untuk terus berjuang dan mungkin ada hadiah buat peminat," katanya.

Untuk rekod, Amy membuat pengumuman keluar daripada kumpulan itu pada 29 Mac 2020 atas sebab masalah dalaman antara mereka.

Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI

Artikel Lain