suria

Foto Niezam Zaidi pakai uniform juruterbang jejas imej TUDM - “Gambar itu semasa dia pegang watak dalam drama Gempur Wira”

Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) menafikan pelakon Niezam Zaidi pernah menganggotai pasukan itu atau Pasukan Simpanan Sukarela Tentera Udara Diraja Malaysia (PSSTUDM).

SUSULAN penahanan Niezam Zaidi yang terkait kes dadah, Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) menafikan pelakon berkenaan pernah menganggotai pasukan itu atau Pasukan Simpanan Sukarela Tentera Udara Diraja Malaysia (PSSTUDM).

Kekeliruan itu muncul selepas beberapa foto Niezam berpakaian seragam TUDM digunakan bagi mengiringi berita berkenaan.

Bahagian Perhubungan Awam, Markas TUDM Kuala Lumpur menerusi satu kenyataan menjelaskan, foto tersebut telah mencalarkan imej dan memberi gambaran negatif terhadap pasukan tersebut.

ARTIKEL BERKAITAN: Produksi tak bertanggungjawab penahanan Niezam Zaidi... Terpaksa tukar dua pengarah untuk sambung penggambaran telefilem

ARTIKEL BERKAITAN: Niezam Zaidi mengaku salah miliki dadah, berdepan penjara 5 tahun atau denda maksimum RM20,000

"Berdasarkan artikel yang dikeluarkan oleh beberapa media, blogger dan pengguna media sosial berkenaan seorang artis ditangkap kerana memiliki dadah telah disensasikan dengan penggunaan gambar beliau berpakaian juruterbang TUDM.

"Isu ini telah menimbulkan kekeliruan kepada masyarakat serta mencalarkan imej TUDM," ujar kenyataan tersebut.

NIEZAM22

Pelakon Niezam Zaidi dihadapkan ke Mahkamah Majistret Kuala Kangsar pada Selasa atas tuduhan memiliki dadah.

Tambahnya, pelakon berkenaan menggunakan pakaian seragam juruterbang TUDM semasa menjalani penggambaran sebuah drama bertajuk Gempur Wira.

"Artis berkenaan sama sekali tidak pernah berkhidmat dengan TUDM serta Pasukan Simpanan Tentera Udara Diraja Malaysia (PSSTUDM).

“Gambar dia berpakaian juruterbang tersebut adalah semasa memegang watak sebagai juruterbang TUDM dalam sebuah drama bertajuk Gempur Wira,” menurut kenyataan itu.

Dalam pada itu, TUDM meminta agar pihak media, blogger dan pengguna media sosial untuk tidak mengaitkan artis tersebut dengan TUDM dan menurunkan semula gambar yang digunakan.

Terdahulu, Niezam bersama pengarah Mohd. Latiff Zami, 49 dan penolong pengarah, Saiful Zaidrin Ismail, 47 telah ditahan pihak polis dalam satu serbuan yang dibuat di sebuah inap desa di Kuala Kangsar pada 7.15 pagi, Ahad lalu.

Dalam serbuan tersebut, pihak polis menjumpai dadah jenis kanabis seberat 1.45 gram dipercayai milik pelakon dan pengarah terbabit.

Pemeriksaan di bilik penolong pengarah pula menjumpai di atas lantai dadah jenis methamphetamine seberat 0.38 gram.

Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI

TONTON VIDEO PILIHAN!

Niezam Zaidi, TUDM, jejaskan imej,

Artikel Lain