suria

Takut salah cakap… penyanyi baharu Lia Aziz fikir dulu sebelum kongsi di media sosial - “Komen dalam hati saja, jadi artis kena lebih berjaga-jaga”

Lia Aziz bersedia menerima kecaman dan pandangan netizen mengenai dirinya.

SEBAGAI seorang selebriti, apa sahaja tindakan yang dilakukan pasti mendapat perhatian masyarakat terutamanya netizen di laman sosial.

Menyedari kuasa viral itu, Lia atau nama sebenar Noralia Farzana Abd Aziz, 18, berkata dia kini perlu lebih berhati-hati dalam mengutarakan pandangan atau menulis komen membabitkan sesuatu itu.

"Sebagai penyanyi baharu semestinya saya perlu aktif di semua platform media sosial... cumanya saya perlu menggunakan laman tersebut dengan bijak. Mujurlah sebelum masuk industri, saya bukan jenis orang yang suka luahkan ekspresi diri di laman sosial.

ARTIKEL BERKAITAN: Teruk dikecam netizen... Iman Troye akhirnya mohon maaf salah bual - “Saya akan cuba jadi lebih baik”

"Saya tak berapa suka nak menulis status atau komen di media sosial, kalau ada rasa tak puas hati, saya pendam dalam hati sajalah! Bimbang juga kalau apa yang kita tulis membuatkan ada pihak yang kurang senang.

"Lagi-lagi pula bila jadi artis, saya kena lebih berjaga-jaga... fikir dulu sebelum nak tulis sesuatu. Tambah pula bila tengok ada rakan artis lain teruk dikecam kerana tulisan mereka di laman sosial," katanya kepada mStar.



Lia Aziz berhati-hati sebelum menulis sesuatu di media sosial.

Hampir tiga tahun berkecimpung dalam bidang muzik, Lia berkata dia mengagumi dua penyanyi berbakat besar iaitu Ernie Zakri dan Aina Abdul.

"Memang ramai penyanyi yang saya kagumi di Malaysia tapi paling saya minat ialah Ernie Zakri dan Aina Abdul kerana mereka memiliki bakat dan kelebihan lain lagi.

"Mereka bukan sekadar menyanyi tetapi tahu mengenai ilmu dunia muzik termasuklah jadi pengajar vokal. Saya nampak Ernie serta Aina ada perancangan dalam karier mereka dan tahu apa mereka lakukan.

"InsyaAllah satu hari nanti, saya harap mampu menjadi seperti mereka. Lagi pula bidang nyanyian ini memang minat saya sejak dulu lagi," ujarnya.

Apabila lagu nyanyian kita menjadi OST, memang ada impak baik. Lebih ramai orang kenal apabila mereka mula cari tentang diri kita!

LIA AZIZ

PENYANYI

Bercakap mengenai karier nyanyian, Lia kini sedang mempromosikan lagu duet bersama Asfan Shah berjudul Pergilah Derita yang merupakan runut bunyi (OST) drama Cukup Derita Itu yang sedang bersiaran di TV3.

Mengakui lagu tersebut memberi impak kepada karier nyanyiannya, Lia berkata dia kini semakin dikenali selepas lagu itu menjadi OST drama berkenaan.

[Sertai fan club Telegram mStar Rojer. Kita boleh borak-borak DI SINI]

"Ini merupakan lagu OST kedua nyanyian saya, cuma istimewanya untuk lagu ini saya berduet dengan penyanyi senior Asfan Shah. Alhamdulillah sambutan pendengar baik di laman YouTube.

"Apabila lagu nyanyian kita menjadi OST, memang ada impak baik. Lebih ramai orang kenal apabila mereka mula cari tentang diri kita. Ia menjadi salah satu ruang terbaik untuk saya kembangkan lagi bakat yang ada.



Pergilah Derita nyanyian Lia Aziz dan Asfan Shah terima sambutan hebat penonton drama Cukup Derita Itu.

"Sebagai penyanyi baru nak up (BBNU), apabila ada peluang begini semestinya saya tak menolak. Syukur drama itu juga mendapat sambutan penonton, dalam masa sama membantu menaikkan lagu ini," katanya yang kini sedang menunggu keputusan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).

Single pertama Lia Aziz berjudul Kucu Kuca pula menjadi OST untuk drama Rindu Awak Separuh Nyawa (Astro).

Kedua-dua lagu itu boleh didengari menerusi saluran YouTube Rusa Music.

Rindu Awak Separuh Nyawa lakonan Uqasha Senrose dan Shukri Yahaya ditayangkan di slot MegaDrama Astro Ria setiap hari Isnin hingga Khamis pukul 10 malam.

Manakala, Cukup Derita Itu yang dibintangi oleh Ruhainies dan Hisyam Hamid bersiaran di slot Samarinda TV3 hari yang sama pukul 10 malam.

Nak tengok ke posting kelakar dan macam-macam komen? Follow kami di Instagram!

Artikel Berkaitan

Artikel Lain