suria

Muncul dengan lagu nasyid pertama, doa Sam Bunkface nak sebut nama Allah dan Rasul dalam lagu akhirnya tercapai

Sam teruja dapat berkolaborasi dengan Inteam.

VOKALIS kumpulan Bunkface, Sam teruja niatnya untuk menyanyikan lagu berunsur ketuhanan akhirnya tercapai menerusi hasil kolaborasi dengan kumpulan Inteam menerusi single berjudul Mencari Sinar.

Menurut Sam atau nama sebenarnya, Shamsul Annuar Mohd Baharom, 34, Mencari Sinar juga merupakan lagu nasyid pertama yang diterbitkannya sepanjang lebih 15 tahun berkecimpung dalam bidang seni.

ARTIKEL BERKAITAN: Hampir 2 tahun menduda, Sam Bunkface kembali bergelar suami orang - “Alhamdulillah... doakan yang baik-baik untuk kami”

"Sebelum ini saya pernah berdoa nak menyebut nama Allah dan Rasul dalam lagu Bunkface tapi selalu tak jadi.

"Akhirnya, Allah makbulkan doa saya bila tiba-tiba syarikat rakaman Smileyriver tawarkan saya untuk berkolaborasi lagu Mencari Sinar dengan Inteam.

"Saya sangat teruja sebab memang dah lama nak menyanyi sesuatu yang lain daripada kebiasaan yang saya bawakan sebelum ini," katanya kepada mStar.

Sam bersama ahli kumpulan Bunkface, Youk dan Paan.

Mencari Sinar turut mencuri kelainan apabila membawakan unsur muzik gambus menerusi alunan yang dimainkan oleh pemain gambus terkenal, Fauziah Gambus.

Menyifatkan kerjasamanya dengan Inteam suatu proses yang memudahkan, Sam berharap Mencari Sinar akan mendapat sambutan yang baik dalam kalangan peminat kedua-dua penyanyi ini.

Sebelum ini saya pernah berdoa nak menyebut nama Allah dan Rasul dalam lagu Bunkface tapi selalu tak jadi.

SAM

VOKALIS BUNKFACE

"Alhamdulillah, bekerja dengan Inteam sangatlah mudah dan mereka juga lebih berpengalaman daripada saya jadi banyak saya boleh belajar daripada mereka.

"Saya harap pendengar muzik tempatan dapat menerima karya saya yang mungkin kali ini sedikit berlainan bentuknya daripada lagu-lagu saya yang lain.

"Yang penting, hayati mesej lagu ini dan semoga dapat memberi sedikit inspirasi dalam hidup anda," ujarnya.

Mencari Sinar merupakan karya sepenuhnya ciptaan Allahyarham Ahmadi Hassan manakala komposisi muziknya pula merupakan idea bersama Sam dan Epul Kuat.

Lagu ini sudah boleh didapati menerusi semua aplikasi penstriman muzik sejak 9 April lalu.

Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!

Artikel Lain