suria

[VIDEO] Andai kata Nabila Razali tak ‘terkucil’, memang sedap! Komposer kongsi video ‘rehearsal’ AJL35... ramai puji

SUDAH dua hari Anugerah Juara Lagu ke-35 (AJL35) sudah dua hari melabuhkan tirai, namun nyanyian 'terkucil' Nabila Razali terus hangat diperkatakan sehingga ke hari ini.

Terbaharu, komposer lagu Peluang Kedua, MFMF berkongsikan video sesi latihan menjelang AJL35 membabitkan Nabila atau nama penuhnya Nur Nabila Mohd Razali, 29, menerusi Instagram mereka.

ARTIKEL BERKAITAN: [VIDEO] Nabila Razali ‘terkucil’ di AJL35, rakan artis tetap sokong - “Saya dapat rasakan dia gementar”

Dalam video tersebut, kelihatan Nabila selesa menyanyikan lagu tersebut tanpa mengalami sebarang masalah terkucil seperti yang berlaku pada malam final AJL35 yang berlangsung di Auditorium Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA), Ahad lalu.

MFMF yang terdiri daripada tiga orang komposer iaitu Brendan, Justin dan Zen turut menyatakan perasaan bangga dengan hasil usaha yang dilakukan Nabila menerusi karya lagu ciptaan mereka.

Persembahan ringkas daripada Nabila ketika AJL35.

"Kami sangat bangga dengan anda, Nabila. Kami sentiasa kagum dengan semangat yang telah anda tunjukkan dalam berhadapan pelbagai rintangan yang datang.

"Walaupun ramai yang mengecam namun anda memberikan satu persembahan yang sangat cantik dan menyentuh perasaan. Tiada sesiapa yang boleh menafikan perkara itu," kata MFMF.

Peluang Kedua merupakan ciptaan bersama MFMF dan komposer serta penyanyi, Hael Husaini.

Sementara itu MFMF turut menyatakan kesudian mereka untuk terus bekerjasama dengan Nabila dan Hael di masa akan datang.

Walaupun ramai yang mengecam namun kamu telah memberikan satu persembahan yang sangat cantik dan menyentuh perasaan.

MFMF

KOMPOSER PELUANG KEDUA

"Kami tahu kerja keras yang anda lakukan di sepanjang perjalanan ini dan kami sangat berbesar hati agar kita bekerjasama lagi di masa hadapan. Jom?" ujarnya.

Menerusi pemerhatian di ruang komen, rata-rata netizen memuji kualiti vokal Nabila ketika sesi raptai dan berpendapat penyanyi itu tidak dapat mengawal gemuruh pada malam final.

"Dia menyanyikan lagu ini dengan sangat merdu sekali.

"Nabila okey sangat nampak dia nervous tapi tak mengapa awak tetap cantik.

Nabila pertama kali membuat persembahan di pentas AJL.

"Tolong siarkan video penuh sesi raptai ini," tulis netizen.

Nabila antara 12 finalis berentap di pentas AJL35 yang berlangsung tanpa penonton.

Setiap persembahan finalis AJL 35 dinilai oleh 10 juri profesional tanah air yang ketuai oleh Datuk Mokhzani Ismail.

Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!

Artikel Lain