suria

Nuha Bahrin tak padam komen kecaman, jadikan ia sebagai proses pembelajaran - “Saya dapat betulkan mana yang silap”

Nuha Bahrin bersedia menakluk bidang seni suara tanah air.

WALAUPUN pernah melalui detik pahit apabila nyanyiannya dikritik teruk dalam program Vokal Mania pada tahun lalu namun ia sama sekali tidak mematahkan semangat Nuha Bahrin untuk kembali bangkit dalam mewarnai bidang seni tempatan.

Menurut Nuha atau nama sebenarnya, Nuha Sakina Saiful Bahrin, 21, dia bersyukur dikelilingi keluarga, rakan rapat dan peminat yang sentiasa memberikan kata-kata positif buatnya untuk meneruskan kerjaya dalam bidang ini.

ARTIKEL BERKAITAN: Nyanyian di 'Vokal Mania' teruk dikritik, Nuha Bahrin akan belajar kawal emosi ketika menyanyi - “Ada yang anggap saya mempunyai potensi dalam industri”

"Saya sebenarnya sangat bersyukur ada keluarga, teman-teman rapat dan peminat yang sentiasa berikan kata-kata sokongan buat saya.

"Saya akui ia cukup sukar bila diri kita dikritik dengan teruk tapi saya anggap itu semua sebagai cabaran dan liku-liku yang perlu dilalui sebagai anak seni.

"Saya selalu ingatkan diri saya kena sentiasa bersabar dan berbuat baik dengan semua orang di sekeliling kita," katanya kepada mStar.

Nuha ditemui pada majlis ramah mesra bersama artis naungan Universal Music Malaysia yang berlangsung di Bsync Studio, Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Nuha bersama artis naungan Universal Music Malaysia, Azmi Saat, Siqma, FML, Asyraf Nasir dan Eemrun.

Anak ketiga daripada empat beradik ini juga mengambil pendekatan tidak akan memadam sebarang komen yang berbentuk kecaman dan hentaman terhadap dirinya kerana mahu dijadikan sebagai pembelajaran buatnya sepanjang bergelar anak seni.

"Walaupun banyak dapat komen-komen negatif, tapi saya memang tak pernah delete sebab saya pun banyak belajar daripada situ.

"Kadang-kadang kritikan ini bagus untuk kita bina balik keyakinan dan saya akui suka juga dapat komen-komen macam itu, sekurang-kurangnya saya dapat perbetulkan yang mana saya ada buat silap," ujarnya lagi.

Tampil dengan single pertama berjudul XSempurna yang dilancarkan pada 5 Mac lalu, Nuha mengharapkan lagu ini dapat menambat perhatian peminat muzik tanah air.

Persembahan Nuha di pentas Vokal Mania mendapat kritikan netizen.

"Sudah tentu saya mengharapkan yang terbaik untuk single ini dan dengan kemunculan XSempurna ini ia juga membuatkan saya senang untuk bangkit dan kejar impian untuk berjaya dalam bidang ini," katanya.

Nama Nuha sebelum ini menjadi tular pada November tahun lalu selepas persembahannya dalam program Vokal Mania mendapat kritikan netizen di media sosial.

Rata-rata mereka menegur vokal Nuha yang disifatkan tidak kemas dan ada juga segelintir berpendapat bahawa nyanyiannya seperti menjerit.

Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!

Artikel Lain