suria

Gara-gara sungai palsu di skrin digital, Aishah alami mabuk laut malam ‘rehearsal’ AJL35 - “Mungkin sebab saya merenung air itu... tiba-tiba pening sampai muntah”

Aishah muntah-muntah dan pening kepala sebelum malam kemuncak AJL35.

PENYANYI Aishah yang menggantikan Datuk Seri Siti Nurhaliza menyanyikan lagu Aku Bidadari Syurgamu di pentas Anugerah Juara Lagu yang ke-35 (AJL35) berdepan situasi mencemaskan sebelum malam kemuncak yang berlangsung pada Ahad.

Menurut Aishah atau nama sebenar Wan Aishah binti Wan Ariffin, 56, dia mengalami sakit kepala sehingga muntah-muntah semasa sesi latihan penuh disebabkan penggunaan skrin digital yang menampakkan jambatan dan air sungai seperti realistik.

"Banyak cabaran yang dilalui menyanyikan lagu ini... banyak kenangan pahit dan manis contohnya pada malam dress rehearsal kami pertama kali berlatih dengan jambatan dan air (menggunakan skrin digital).

ARTIKEL BERKAITAN: Aina Abdul tewas Vokal Terbaik di tangan Ernie Zakri... Lagu ‘Gila’ julang trofi AJL35

"Adoi makcik ni pergilah naik atas jambatan tu mungkin kerana merenung air yang realistik tu tiba-tiba rasa pening. Allahuakbar cabaran pementasan zaman sekarang... punyalah pening macam mabuk laut sampai habis muntah dan sampai petang kepala berbuai.



Aishah akui alami muntah-muntah selepas melihat video air di skrin yang diletakkan di lantai pentas.

"Petang sebelum last rehearsal kena pergi beli jus limau untuk hentikan rasa berbuai tu... jadinya naik pentas tu, saya kena hati-hati supaya jangan tengok bawah kena tengok hadapan atau atas sahaja. Sungguh mencabar!" katanya menerusi laman Instagram.

Dalam pada itu, Aishah berkata terlalu banyak kenangan yang tidak mungkin dilupakan sepanjang diberi tanggungjawab menyanyikan lagu ciptaan Ippo Hafiz dan Siti Rosmizah ini.

Saya dah cuba sebaik mungkin tapi adat bertanding mesti ada kalah menangnya

AISHAH

PENYANYI

Meskipun tidak membawa pulang kemenangan, penyanyi lagu Janji Manismu ini berkata dia menerima keputusan itu dengan hati terbuka.

"Selesai sudah tugasan untuk menyampaikan lagu Aku Bidadari Syurgamu. Saya dah cuba sebaik mungkin tapi adat bertanding mesti ada kalah menangnya.



Aishah kongsi pengalamannya itu di Instagram.

"Kami tetap tersenyum kerana bagi kami ABS bermakna Aishah Binti Sham... haha! Selalu menyanyi dari hati walau apa berlaku... malam ni boleh tidur lena, ” ujarnya.

AJL35 yang berlangsung di Auditorium MBSA, Shah Alam menyaksikan lagu Gila nyanyian Kaka Azraff, Noki dan Loca B diangkat sebagai juara dan membawa pulang hadiah wang tunai RM50,000 berserta trofi.

Naib juara dimenangi lagu ciptaan dan nyanyian Aina Abdul berjudul Semalam dan lagu ciptaan Hael Husaini dan Ezra Kong berjudul Belenggu Rindu yang dinyanyikan oleh Datuk Jamal Abdillah bergandingan dengan Wany Hasrita di tempat ketiga.

Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!

Artikel Berkaitan

Artikel Lain