suria

Nyanyian di 'Vokal Mania' teruk dikritik, Nuha Bahrin akan belajar kawal emosi ketika menyanyi - “Ada yang anggap saya mempunyai potensi dalam industri”

Persembahan Nuha di pentas Vokal Mania mendapat kritikan daripada netizen.

PERSEMBAHAN penyanyi baharu Nuha Bahrin menerusi rancangan nyanyian Vokal Mania yang berlangsung pada malam, Sabtu lalu mendapat kritikan netizen di laman sosial.

Rata-rata mereka menegur vokal Nuha yang disifatkan tidak kemas dan ada juga segelintir berpendapat bahawa nyanyiannya seperti menjerit.

Biarpun berasa sedih dengan kritikan tersebut namun Nuha mengakui kesilapan tidak memberikan persembahan yang baik pada malam tersebut disebabkan terlalu gementar.

"Saya setuju dengan semua komen dan kata-kata netizen mengenai persembahan saya di Vokal Mania. Sejujurnya, ia bukan persembahan yang terbaik saya.



Antara komen netizen di laman sosial.

"Ketika buat latihan, saya dah lakukan dengan betul tapi bila tiba masa... saya terlampau gementar sehingga membuat persembahan secara berlebihan.

"Sebagai manusia biasa, sudah tentu saya sedih membaca komen negatif tapi saya terima semuanya sebab memang betul apa yang mereka katakan," kata Nuha kepada mStar.

Nuha yang juga salah seorang daripada 24 rookie (penyanyi amatur) menyampaikan lagu Kekasih Awal & Akhir nyanyian Datuk Jamal Abdillah dan Di Matamu (Sufian Suhaimi) dalam pusingan duet bersama Tomok.

Pada malam saingan episod kedua, Nuha berjaya mendapat undian tertinggi dan memenangi anugerah 'Rookie Star Award'.

Alhamdulillah... saya sangat bersyukur masih ada peminat yang menyokong saya.

NUHA BAHRIN

PENYANYI

Kesemua peserta rookies perlu berentap dengan penyanyi berpengalaman atau digelar idol iaitu Tomok, Lan Solo, Aina Abdul dan Indah Ruhaila bagi merebut gelaran juara.

Dalam pada itu, Nuha mengambil segala kritikan sebagai pembelajaran serta pembakar semangat untuk dirinya melakukan yang lebih baik di masa hadapan.

Bagaimanapun, Nuha tetap meluahkan rasa syukur atas sokongan daripada peminat yang sentiasa memberi kata-kata positif kepadanya.

"Segala kritikan dan komen itu saya ambil secara positif... saya ambil sebagai pembelajaran, nasihat dan pembakar semangat untuk lakukan yang lebih baik selepas ini.



Nuha sentiasa belajar untuk memperbaiki kelemahannya.

"Saya akan sentiasa belajar dan keep on practicing. Perbaiki kelemahan saya dan buat yang terbaik lepas ini. Saya juga belajar untuk jaga emosi.

"Apa-apa pun, Alhamdulillah... saya sangat bersyukur masih ada peminat yang menyokong saya. Ada yang menganggap saya mempunyai potensi dalam industri," ujarnya.

Sekitar Disember tahun lalu, video Nuha menyanyikan lagu Hurt yang dimuat naik di laman sosialnya mendapat perhatian penyanyi asal iaitu Christina Aguilera.

Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!

Artikel Lain