suria

Dayang Nurfaizah terharu album klasik Belagu diterima baik pendengar muzik generasi muda

Dayang Nurfaizah kini tampil dengan album baharu, Belagu yang mengangkat tema lagu-lagu klasik.

PENYANYI Dayang Nurfaizah meluahkan rasa syukur dan terima kasih kepada peminat yang meletakkan album klasik terbaharunya, Belagu berada di tangga nombor satu carta penstriman muzik iTunes selepas dua jam selepas dilancarkan pada Jumaat.

Dayang atau nama sebenarnya, Dayang Nurfaizah Awang Dowty, 40, menganggap penat lelahnya dalam menghasilkan album berkenaan berbaloi.

ARTIKEL BERKAITAN: Dayang Nurfaizah akui sedih sering ditanya soal kahwin - “Sibuk kerja tak fikir soal pasangan”

"Saya diberitahu pengurus, Belagu mula diedarkan di seluruh penstriman muzik tepat pukul 12 malam tadi (Jumaat) dan dua jam selepas itu ia berada di tangga nombor satu di carta album paling laris jualan di iTunes Apple Store.

"Alhamdullilah, terasa segala perancangan bertahun-tahun dan kerja keras dicurahkan untuk menghasilkan album ini sangat berbaloi. Ternyata apa yang saya mahu kongsikan dengan peminat muzik tempatan diterima baik, ” katanya kepada mStar.

Dayang Nurfaizah sentiasa mahu mengangkat lagu-lagu klasik agar khazanah itu sentiasa dihargai.

Jelas Dayang lagi, sambutan hangat diberikan peminat terhadap album tersebut juga menjadi petanda positif bahawa industri muzik tempatan masih mampu berkembang baik walaupun berdepan dengan pelbagai cabaran lebih-lebih lagi dalam keadaan negara sedang berdepan dengan pandemik Covid-19.

Selain itu, Dayang juga berharap peminat dapat memahami mesej yang cuba disampaikannya menerusi Belagu yang mana mahu mengangkat warisan lagu-lagu klasik terutamanya buat generasi muda.

"Saya berharap semua peminat akan menghargai album ini dan menerima mesej yang mahu disampaikan. Saya mahu semua pendengar khususnya generasi muda mengenali lantas menghargai khazanah lagu-lagu klasik Melayu kita.

Hael Husaini turut berduet dengan Dayang menerusi lagu Gurindam Jiwa.

"Jika kita sendiri tidak mengangkat warisan ini, lambat-laun ia akan berkubur begitu sahaja. Saya anggap penghasilan album ini bukan saja satu penghargaan kepada orang-orang lama tapi juga sebagai satu tanggungjawab sebagai anak seni," katanya.

Belagu menghimpunkan lagu-lagu klasik antaranya seperti Tudung Periuk, Malam Ku Bermimpi, Kenang Daku Dalam Doamu dan Tari Tualang Tiga.

Penyanyi dan komposer, Hael Husaini turut membuat kemunculan istimewa dengan mendendangkan lagu Gurindam Jiwa secara duet dengan Dayang.

Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!

Artikel Lain