suria

Istana Pahang tarik gelaran Datuk Farid Kamil dan Boy Iman

Farid Kamil dan Boy Iman ditarik balik gelaran Datuk.

ANUGERAH Darjah Indera Mahkota Pahang (DIMP) yang membawa gelaran Datuk kepada pelakon dan pengarah, Farid Kamil serta Boy Iman telah ditarik balik berkuat kuasa 1 Februari lalu.

Menerusi kenyataan media yang dikeluarkan oleh Pendaftar Darjah, Setiausaha Kerajaan Pahang, kedua-dua selebriti itu tidak lagi dibenarkan memakai sebarang gelaran yang dikurniakan.

ARTIKEL BERKAITAN: Farid Kamil, Aaron Aziz Kini Bergelar Datuk

Farid dan Boy Iman atau nama sebenarnya, Noruliman A Rahman juga perlu mengembalikan Darjah Kebesaran yang dikurniakan sebelum ini kepada Pejabat Setiausaha Kerajaan Pahang selaras dengan Undang-Undang Darjah-Darjah Kebesaran dan Bintang-Bintang Negeri Pahang.



Farid ketika istiadat pengurniaan DIMP pada Disember 2017.

Istana Pahang mengurniakan darjah berkenaan bergelar Datuk kepada Farid pada 16 Disember 2017 manakala Boy Iman pada 24 Mei tahun sama.

Kedua-dua gelaran selebriti ini ditarik balik dipercayai disebabkan kedua-duanya pernah mempunyai kes mahkamah.

Boy Iman diisytihar muflis oleh Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada Julai 2020 berikutan kegagalan melunaskan tuntutan lebih RM60,000 dibuat seorang individu pada pertengahan tahun lalu.



Boy Iman menerima DIMP pada 24 Mei 2017.

Pada 2017, Boy Iman yang juga Pengarah Urusan DBI Properties bersama tiga pengarah syarikat Juta Kelulut Global Resources ditahan reman enam kali bagi membantu siasatan membabitkan penipuan jualan rumah bernilai RM6.8 juta.

Mereka pernah direman di balai polis Ampang, Shah Alam, Selangor, Muar, Johor, Sungai Petani, Kubang Pasu, Kedah dan Kangar, Perlis.

Sementara itu, Farid dijatuhi hukuman 13 bulan penjara bagi sabitan kes menggunakan kekerasan jenayah terhadap anggota polis dan empat bulan penjara bagi sabitan kes mengeluarkan perkataan tidak sopan oleh Mahkamah Majistret Petaling Jaya pada 15 Mei 2019.

Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!



TONTON VIDEO PILIHAN!

Artikel Lain