suria

Shahiezy Sam cerita sikap buruk diri sendiri sebelum kahwini Syatilla Melvin - “Walaupun perangai saya tak berapa elok, dia tetap ada”

Sam akui Syatilla banyak bersabar dengannya sepanjang perkenalan mereka sehinggalah sudah berkahwin.

GENAP lima tahun usia perkahwinan, pelakon Shaheizy Sam mengakui isterinya iaitu Syatilla Melvin banyak bersabar melayan kerenahnya sejak mereka mula berkenalan sehinggalah selepas berumah tangga.

Ujar Sam atau nama penuhnya Shaheizy Sam Abdul Samad, dia bersyukur apabila dikurniakan seorang isteri yang penyabar dan penyayang.

ARTIKEL BERKAITAN: “Kalau kita tolong pasangan, masing-masing akan diberikan rezeki” - Syatilla Melvin

Malah Syatilla juga menjadi punca Sam berubah menjadi seorang suami dan bapa yang matang.

Sam bersyukur Syatilla sentiasa berada disisinya.

"Sebelum berkahwin, saya seorang lelaki yang ego, pentingkan diri sendiri... apa yang saya nak, saya akan dapatkan. Saya ada perangai itu. Kenal Tilla dah lama, dia banyak bersabar dengan saya.

"Ikut sahaja kerenah saya sampailah kami berkahwin. Apabila dah kahwin, lima tahun... lalui banyak fasa. Kadang-kadang saya terfikir, walaupun perangai saya tak berapa elok, Tilla tetap ada bersama saya.

"Saya nampak pengorbanan dia ketika mengandung dan melahirkan dua orang anak kami. Sejak daripada itu, saya semakin matang. Sejujurnya, perkahwinan buat saya banyak berubah," katanya kepada mStar.

Alhamdulillah, kami dah lepas fasa itu dan tak rasa teruk pun macam orang cakap.

SYATILLA MELVIN

PELAKON

Pelakon filem Polis Evo itu turut menyambut ulang tahun perkahwinan mereka yang kelima bersama peminat secara maya menerusi saluran YouTube pada malam, Isnin.

Sam mendirikan rumah tangga dengan Syatilla pada 8 Februari 2016 dan dikurniakan dua cahaya mata iaitu Syeriv Samheizy, 4, dan Sarima Samheizy yang kini berusia setahun.

Dalam pada itu, Syatilla atau nama sebenarnya Siti Nur Syatilla Amirol Melvin berkata setiap pasangan yang berumah tangga memerlukan tahap kesabaran yang tinggi.

Malah pelakon drama Sha & Shah ini bersyukur sudah melepasi lima tahun pertama perkahwinan dan masih bahagia biarpun pernah berdepan dengan ujian.

Pengorbanan Syatilla melahirkan dua orang anak mereka mematangkan Sam.

"Bagi saya dalam perkahwinan memang memerlukan kesabaran yang sangat tinggi. Saya pernah dengar orang kata lima tahun pertama perkahwinan adalah fasa yang paling teruk.

"Dalam tempoh ini kita kenal pasangan macam mana dan nak buat pilihan untuk masa depan rumah tangga. Saya dan Sam dah kenal 11 tahun. Alhamdulillah, kami dah lepas fasa itu dan tak rasa teruk pun macam orang cakap.

"Setiap rumah tangga ada dugaan yang berbeza begitu juga kami yang tidak terlepas dengan ujian. Tapi Alhamdulillah, tidak seteruk seperti yang orang takut-takutkan itu.

"Paling penting dalam rumah tangga ini adalah komunikasi antara suami isteri. Kita kena ikut cara yang betul dan berkomunikasi dengan pasangan, Insya-Allah tak timbul masalah yang besar," ujarnya.

Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!



TONTON VIDEO PILIHAN!

Artikel Berkaitan

Artikel Lain