suria

“Ada yang terpaksa jual peralatan muzik kerana tiada pendapatan” - ‘Malaysia Live!’ konsert atas talian bantu penggiat seni terkesan Covid-19

Konsert 'Malaysia Live!' bertujuan membantu penyanyi dan pekerja belakang tabir jana pendapatan semasa pandemik Covid-19.

NASIB penggiat seni yang hilang punca pendapatan akibat pandemik Covid-19 mendorong Pam Shahril dan Shahril Razak dari Gabung Cipta bersama pengarah muzik, Datuk Acis dan penerbit konsert, Jennifer Thompson menganjurkan konsert Malaysia Live! secara langsung atas talian.

Penganjuran acara ini bertujuan untuk membantu penggiat belakang tabir dan barisan artis tanah air meneruskan kelangsungan hidup selepas hilang mata pencarian akibat penularan wabak Covid-19.

Menurut pemuzik terkenal Datuk Acis, ada antara anak seni yang terpaksa menjual peralatan muzik kerana tiada pendapatan dalam tempoh mencabar ini.

ARTIKEL BERKAITAN: Enam 'show', dua konsert Wings batal gara-gara Covid-19 - “Kena jadi kreatif untuk teruskan hidup”

"Industri muzik adalah salah satu industri yang paling terjejas oleh kerana acara-acara live untuk khalayak ramai tidak dibenarkan berlangsung. Dengan pengurangan atau kehilangan punca pendapatan dari sektor persembahan live, yang merupakan sektor utama pendapatan seseorang artis atau pemuzik.

"Ada yang terpaksa mencari perkerjaan lain untuk menyara hidup dan dalam senario terburuk, mereka terpaksa menjual peralatan muzik yang sekian lama menjadi punca pencarian makan.



Malaysia Live! kumpulkan ramai penyanyi popular tanah air.

"Penganjuran Malaysia Live! ini saya berharap dapat memberi ruang untuk semua yang terkesan untuk mula menjana pendapatan. Manakala bagi peminat muzik menyambung semula keistimewaan menonton acara secara live," katanya.

Siri konsert itu juga mendapat sokongan Pelan Pemulihan Ekonomi Jangka Pendek (PENJANA) yang memberi tumpuan penting untuk membantu pengiat dan perniagaan industri kreatif yang terkesan akibat pandemik Covid-19.

Malaysia Live! bertujuan untuk menghiburkan peminat muzik tanah air dengan membawa keterujaan konsert live walaupun ia diadakan secara maya.



Barisan artis yang akan memeriahkan siri kedua konsert Malaysia Live! Jumaat ini.

Konsert tersebut telah dirakam secara langsung tanpa penonton di KL Live @ Life Centre dengan diiringi barisan pemuzik tersohor yang terdiri daripada Acis, Fendi Mokhtar, Jenny Chin, Rozhan Rahman, Wan Gigi, Jamie Wilson, Steve Thornton serta penyanyi latar Yuaz Bahtiar Kassim, Eja Muhd. Nor dan Juanita Ismail.

Episod pertama konsert itu telah ditayangkan menerusi saluran YouTube MalaysiaLiveMY pada 22 Januari lalu di mana antara artis yang terlibat ialah Aizat Amdan, Dayang Nurfaizah, Dolla, Hael Husiani, Haqiem Rusli, Jaclyn Victor, Noh Salleh, Yonnyboi dan Zynakal.

Manakala episod kedua ditayangkan pada Jumaat ini pukul 9 malam bersama barisan penyanyi seperti Faizal Tahir, Ismail Izzani, Kmy Kmo & Luca Sickta, Datuk M. Nasir, Ruffedge, Shalma Eliana, Tuju dan Zizi Kirana.

Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!

Artikel Berkaitan

Artikel Lain