suria

Ezzaty Abdullah turun dapur semula, jual mi udang untuk tampung pendapatan terjejas - “Pengalaman lepas mengajar jadi lebih bersedia”

Ezzaty fokus perniagaan mi udang sepanjang PKP ini.

LANJUTAN pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sehingga 4 Februari depan mendorong pelakon Ezzaty Abdulllah meneruskan semula perniagaan mi udang yang pernah diusahakan sebelum ini.

Memandangkan beberapa projek lakonan terpaksa ditangguhkan sepanjang PKP, Ezzaty, 30, berkata dia mengambil inisiatif menjana pendapatan sampingan dengan meneruskan jualan makanan itu.

"Saya baru mula meniaga semalam (Jumaat) selepas ramai buat permintaan. Lagi pun bosan duduk rumah tak buat apa-apa, jadi lebih baik kalau saya buat sesuatu yang boleh tampung pendapatan sepanjang PKP ini.

ARTIKEL BERKAITAN: Ezzaty Abdullah faham situasi ibu bapa terpaksa bawa anak keluar rumah - “Tapi maaf ibu tak berani... tak ada ilmu kebal!”

"Sebelum ini saya berniaga pes mi udang, ramai pula yang tertanya-tanya kenapa tak buat yang dah siap... itu yang datang balik idea nak fokus semula jual mi udang tu, cumanya sehari dua ni tempahan tak ambil banyak kerana pergerakan terhad nak hantar ke rumah pelanggan.

"Dalam keadaan sekarang, daripada tak buat apa-apa, lebih baik kita cari jalan jana pendapatan lain... sebab kita pun tak tahu sampai bila PKP ini. Pengalaman lepas mengajar untuk kita lebih bersedia," katanya kepada mStar.



Permintaan pelanggan mendorong Ezzaty kembali turun dapur meneruskan perniagaan mi udang.

Sementara itu, isteri kepada pelakon Azwan Kombos ini mengakui pendapatannya terjejas jika PKP berlanjutan lebih lama.

Lebih-lebih lagi dia terpaksa menanggung kos operasi spa miliknya yang ditutup sepanjang tempoh ini.

Spa kami hanya sempat buka sekejap sahaja, terpaksa tutup balik... rugi yang dahulu pun tak boleh cover lagi!

EZZATY ABDULLAH

PELAKON

"Spa kami hanya sempat buka sekejap sahaja, terpaksa tutup balik... rugi yang dahulu pun tak boleh cover lagi! Memang terjejaslah pendapatan sebab nak kena tanggung kos operasi dan sebagainya.

"Sewa kedai pun dah naik harga, tapi nak buat macam mana terpaksalah bayar... insyaAllah kita cuba cari cara untuk bertahan sebab sayang nak lepaskan spa tu!



Ezzaty dan suami, Azwan hantar tempahan ke rumah pelanggan.

"Dalam keadaan sekarang ni kita cuba ikhtiar jalan terbaik dan besar harapan agar pandemik ini segera berakhir dan kita semua boleh bekerja seperti biasa, ” ujarnya.

Bercakap mengenai lakonan, Ezzaty muncul dalam drama terbaharu slot Akasia (TV3) berjudul Rahimah Tanpa Rahim yang mula bersiaran pada Jumaat.

Membawa watak antagonis, Ezzaty berkata dia melalui cabaran sukar kerana perlu menjiwai karakter sebagai Nurul yang benar-benar berbeza dengan dirinya.

Selain Ezzaty, drama ini turut dibintangi oleh Azlee Khairi, Puteri Aishah dan Hafidz Roshdi.

Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!

Artikel Lain

Wanita berang mentua melahap kek perkahwinan

Kes harian Covid-19 kembali turun