suria

Adam Shahz tak mengaku bawa anak tidur sebilik dengan teman wanita - “Saya bukan la baik sangat, tapi tak sampai nak buat tak senonoh”

Fatin berkongsi video perbualan dia dengan anak perempuan yang mendakwa mereka tinggal sebilik dengan kekasih bapanya ketika sedang bercuti.

PERKONGSIAN video perbualan Fatin Afeefa dengan anak perempuannya iaitu Ivy Herra Sophia yang dimuat naik di Instastory aktres tersebut pada Ahad menarik perhatian umum.

Menerusi video pendek berkenaan, kanak-kanak perempuan berusia lima tahun itu bercerita dengan mendakwa dia dan bapanya iaitu Adam Shahz bersama teman wanita berkongsi bilik tidur ketika mereka sedang bercuti.

ARTIKEL BERKAITAN: Jodoh PKPB! Adam Shahz sudah sedia bergelar suami sekali lagi - “Alhamdulillah dia dah rapat dengan anak saya”

Enggan melatah dengan pendedahan tersebut, Adam atau nama sebenarnya Nor Shah Azli Abdol Ghani memilih untuk mengunci mulut kerana ingin membawa perkara itu ke mahkamah.

Fatin memohon maaf atas pendedahannya di Instastory.

"Saya tak nak beri kenyataan sebab nak bawa perkara itu ke mahkamah. Apa yang dikatakan pihak sana (Fatin) itu fitnah! Saya sedar, diri bukan la baik sangat tapi tidaklah sampai saya nak buat perkara tak senonoh depan anak.

"Apa-apa pun, tak ada apa yang saya boleh komen lebih lanjut dan kita biarkan mahkamah yang menentukan nanti," kata Adam ketika dihubungi mStar pada Isnin.

Hasil pemeriksaan di Instagram, Fatin bagaimanapun bertindak memadam video tersebut termasuk paparan skrin mesej antara dia dengan bekas suaminya itu selepas beberapa jam dimuat naik.

Selain video dan mesej, Fatin atau nama sebenarnya Fatin Nur Afifah Shamsudin turut memuat naik beberapa status beremosi termasuk kenyataan mendakwa Adam tidak memberi nafkah anak sejak empat tahun lalu.

Saya tak nak beri kenyataan sebab nak bawa perkara itu ke mahkamah.

ADAM SHAHZ

PELAKON

Dalam pada itu, Fatin yang kini berusia 27 tahun memohon maaf atas perkongsiannya berkenaan dan mengakui dia sepatutnya menyimpan isu peribadi tanpa perlu berkongsi kepada umum.

"Saya minta maaf untuk apa yang saya muat naik itu. Saya sepatutnya simpan semuanya sendiri seperti mana yang saya selalu buat untuk empat tahun lalu daripada berkongsi aib seseorang.

"Tapi saya terlalu lama simpan semuanya seorang diri, saya tidak mampu lagi untuk bertahan terutama apabila melibatkan anak perempuan saya. Saya dah padam perkongsian tersebut tapi tidak bermaksud saya okey dengan perkara itu.

Adam dan teman wanitanya bakal berkahwin tahun ini.

"Saya tidak okey dengan apa yang terjadi... saya tidak akan okey. Semoga Allah lindungi kita semua dan keluarga kita," tulis Fatin.

Menerusi laporan mStar pada 17 November tahun lalu, Adam yang juga pelakon drama popular Juvana itu mengakui sudah mempunyai teman wanita dan bakal berkahwin pada tahun ini.

Fatin mendirikan rumah tangga dengan Adam Shahz pada tahun 2013 namun bercerai pada tahun 2017 dan melalui perkahwinan tersebut, mereka dikurniakan seorang cahaya mata bernama Ivy Herra Sophia.

Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!



TONTON VIDEO PILIHAN!

Artikel Lain