suria

Bekas suami Datuk Seri Vida gagal dapat hak lawatan, bermalam bersama anak, Cik B akan hubungi bapa jika sudah bersedia - “Nanti saya sendiri akan call ayah”

Datuk Seri Vida bersyukur keputusan memihak kepada dirinya.

USAHAWAN kosmetik, Datuk Seri Hasmiza Othman atau lebih dikenali sebagai Datuk Seri Vida lega dengan keputusan mahkamah yang memutuskan bekas suami Mohd. Amin Yasin gagal mendapatkan hak hadanah untuk bertemu dengan dua anaknya.

Vida juga meluahkan rasa syukur berikutan kes tersebut tidak berpanjangan dan menganggu emosi anak-anaknya iaitu Nur Edlynn Zamilleen, 16, atau lebih dikenali sebagai Cik B dan Eric Zaquan (Kacak), 14.

ARTIKEL BERKAITAN: Terlalu rindu Cik B dan Kacak... bekas suami Datuk Vida buat tuntutan hadanah - “Saya terasa hati... ada hubungi mereka tapi orang lain jawab”

"Alhamdulillah, hak penjagaan hadanah dapat pada saya dan kes ini tidak dipanjang-panjangkan atas budi bicara hakim.

Saya harap lepas ini jangan pula ada yang cakap Cik B dan Kacak derhaka pula (sebab tidak mahu jumpa bapa).

DATUK SERI VIDA

USAHAWAN KOSMETIK

"Hakim sendiri yang bertanyakan kepada Cik B dan Kacak dan memang saya tidak pernah menghalang untuk mereka berhubung dengan bapa mereka.

"Saya sangat lega kerana keputusan ini tidak mengganggu emosi anak-anak. Saya harap lepas ini jangan pula ada yang cakap Cik B dan Kacak derhaka pula (sebab tidak mahu jumpa bapa).

"Yang bercakap memang sedap, tapi yang menghadapinya kami," katanya.



Kali terakhir Mohd Amin jumpa anak-anak pada Mei 2018. Foto: Malaysiakini

Terdahulu pada pagi Isnin, Mahkamah Syariah Kota Bharu, Kelantan memutuskan bekas suami kepada jutawan kosmetik, Datuk Seri Hasmiza Othman atau dikenali sebagai Datuk Seri Vida gagal mendapatkan hak hadanah untuk bertemu dengan dua anaknya.

Dalam prosiding itu, Hakim Mahkamah Tinggi Syarie, Datuk Abu Bakar Abdullah Kutty mengarahkan Cik B dan Kacak menghubungi bapa mereka, Mohd. Amin Yasin sekurang-kurang sebulan sekali.

Abu Bakar berkata, ia bertujuan mengelakkan ikatan silarutahim antara anak dengan bapa terputus.

Dalam prosiding itu, Vida diwakili peguam Nurul Shuhada Ab. Aziz manakala Mohd. Amin diwakili oleh peguam Mohd. Zaki Zainal Abidin dan Nik Mohamad Amin Nik Abdullah.

Vida berkata, dia tidak berniat untuk memutuskan hubungan hubungan di antara bapa dan anak, namun disebabkan konflik yang pernah melanda keluarga menyebabkan dia terpaksa melindungi anak-anaknya.

"Cik B dan Kacak boleh hubungi ayah mereka, bukan sebaliknya. Saya tak nak putuskan silaturrahim tapi anak-anak sendiri yang belum bersedia untuk berjumpa dengan ayah mereka atas sebab-sebab tertentu," ujarnya.

Sementara itu, Cik B berkata, dia dan Kacak akan menghubungi bapa sekiranya mereka sudah bersedia.

"Saya rasa lega kes ini sudah berakhir dan kalau saya dah bersedia, saya sendiri akan call ayah," katanya.



Datuk Seri Vida lega keputusan tidak menjejaskan emosi anak-anak.

Pada 3 November lalu, Mohd Amin yang juga seorang peniaga memfailkan tuntutan hadanah iaitu hak lawatan, bermesra dan bermalam bersama anak-anak.

Mohd Amin sebelum ini menyatakan kali terakhir dia bertemu dengan anak-anaknya pada Mei 2018.

Mohd Amin berkahwin dengan Vida pada tahun 2000 dan bercerai pada 2008.

Mereka dikurniakan empat cahaya mata, namun anak pertama dan kedua mereka meninggal dunia dalam kejadian kebakaran rumah di Ipoh, Perak pada 3 Ogos 2013.

Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!

Artikel Berkaitan

Artikel Lain

Messi menang anugerah Ballon d'Or