suria

Individu kata Aishah kuat 'sentap' tampil mohon maaf - “Kalau tazkirah agama tak jalan, akta komunikasi boleh jaga mulut-mulut puaka!”

Individu tersebut meninggalkan komen mengatakan Aishah sudah tidak layak untuk berada dalam industri seni.

TERLAJAK perahu boleh undur, terlajak kata badan binasa. Itulah yang terjadi kepada seorang netizen yang meninggalkan komen negatif di Instagram penyanyi Aishah pada Rabu.

Beberapa jam selepas menulis komen berniat buruk, individu dipercayai seorang wanita itu tampil membuat permohonan maaf kepada Aishah.

Tindakan itu dibuat kerana berasa takut dengan maklumat berhubung Akta Komunikasi dan Multimedia (AKM) yang dimuat naik penyanyi itu di laman sosial.

ARTIKEL BERKAITAN: Pernah berbadan besar, Aishah kecewa usahawan produk lantik duta perdaya pengguna - “Sebenarnya mereka kurus hasil pembedahan!”

Aishah menerusi laman Instagram miliknya berharap netizen menghentikan budaya menulis komen biadab tanpa berfikir tentang risiko akan datang.



Aishah memuat naik paparan skrin individu tersebut membuat permohonan maaf di Instagram.

"Setelah diingatkan tentang AKM kelam kabut minta maaf ya. Beberapa jam saja berasakan dihimpit tekanan komen orang lain menghemtam diri... tahu ya rasa kemurungan.

"Suami pun dah sound kan? Yang kami ini korang tiap hari buat 'lauk' saja tanpa memikirkan hati dan perasaan bukan saja tuan badan tetapi suami, anak-anak dan keluarga kami.

"Hentikan budaya komen tanpa berfikir, tanpa adab... terlajak perahu. Kalau tazkirah agama tak jalan, maka semoga AKM boleh menjaga mulut-mulut puaka ini.

"Katakan tidak untuk cyber bullying, kejayaan Malaysia sebagai negara tak bergantung kepada keterbukaan yang melampau ini," kata Aishah.

Hentikan budaya komen tanpa berfikir, tanpa adab... terlajak perahu.

AISHAH

PENYANYI

Sebelum ini, Aishah memuat naik paparan skrin komen individu tersebut yang mengatakan penyanyi lagu Janji Manismu itu tidak sesuai untuk berada dalam industri sekarang.

Malah individu tersebut meminta Aishah menutup semua akaun laman sosial memandangkan juara Gegar Vaganza musim keempat itu mudah terasa atau 'sentap' dengan komen netizen.

Dalam pada itu, menerusi kenyataan permohonan maaf individu tersebut mengakui perbuatannya itu boleh dikenakan tindakan undang-undang.

"Saya menyedari tulisan saya merupakan perbuatan yang melampau batas dan melanggar akta AKM yang boleh dikenakan tindakan undang-undang.



Aishah mahu netizen menghentikan budaya komen melampau di laman sosial.

"Sebagai pengguna media sosial, saya tidak boleh mengeluarkan ayat yang boleh menggores perasaan sesiapa sahaja. Saya menyedari kesilapan saya dan menyesalinya.

"Saya memohon maaf kepada Aishah. Saya memohon semua pengguna media sosial bertanggungjawab diatas semua penulisan anda sebab dipertanggungjawab di akhirat.

"Akhir kata... saya memohon maaf dan merayu kepada kak Aishah untuk maafkan saya," tulis individu tersebut di laman Instagram miliknya.

Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (Akta 588) mempunyai peruntukan utama yang membolehkan tindakan penguatkuasaan diambil ke atas aduan-aduan berkaitan kandungan jelik di Internet.

Seseorang yang melakukan suatu kesalahan dan apabila disabitkan boleh didenda tidak melebihi RM50,000 atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi satu tahun atau kedua-duanya dan juga boleh didenda selanjutnya RM1,000 bagi setiap hari atau sebahagian daripada sehari kesalahan diteruskan selepas pensabitan.

Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!

TONTON VIDEO PILIHAN!

Artikel Lain

Gempar bayi perempuan lahir ada ekor berbulu