suria

Selesai 14 hari kuarantin, SFMM35 akan diteruskan pada 15 Disember ini

SFMM35 hari ketiga akan bersambung pada 15 Disember ini.

HARI ketiga program nyanyian Separuh Akhir Muzik-Muzik ke-35 (SFMM35) yang ditangguhkan sebelum ini bakal diadakan pada tarikh baharu iaitu 15 Disember ini.

Penundaan tarikh baharu itu dibuat selepas penyanyi Alif Satar yang membuat persembahan pada hari pertama program iaitu 20 November lalu disahkan positif Covid-19.

Meneruskan baki persembahan sembilan lagu lagi, Penerbit Eksekutif SFMM35, Nurhul Huda Khalid berkata, kesemua kru produksi yang terlibat sebelum ini sudah menjalani kuarantin kendiri dan perlu mematuhi prosedur operasi standard (SOP) sepanjang program itu berlangsung.

ARTIKEL BERKAITAN: Separuh Akhir Muzik-Muzik ke-35 ditunda selepas Alif Satar disahkan positif Covid-19

“Pematuhan arahan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) adalah keutamaan kami demi memutuskan rantaian penularan wabak Covid-19. Warga kerja kami yang merupakan kontak rapat kepada Alif Satar telah pun membuat ujian calitan (swab) di pusat-pusat perubatan kerajaan berhampiran.

"Warga kerja lainnya juga telah mematuhi arahan Jabatan Sumber Tenaga dan Rangkaian Televisyen Media Prima Berhad untuk menjalani kuarantin kendiri selama 14 hari sebagai langkah berjaga-jaga, walaupun tidak bergejala. Oleh itu, sekiranya kami kekal tidak bergejala sehingga tamat tempoh kuarantin kelak, kami dibenarkan untuk kembali bekerja seperti biasa sambil mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang telah ditetapkan kerajaan.



Alif Satar disahkan positif Covid-19 pada hari pertama siaran SFMM35.

"Proses perancangan semula SFMM35 sedang diperhalusi dan pensanitasi berkala juga dilakukan bagi memastikan kelancaran penyiaran hari ketiga SFMM35 pada 15 Disember nanti.

"SOP juga akan diperketatkan dan hanya artis-artis yang membuat persembahan pada malam tersebut sahaja yang akan hadir bagi memastikan bilangan orang yang berada di Studio Sri Pentas 2, Plaza Alam Sentral, Shah Alam itu dapat dikurangkan dan memudahkan penjarakan fizikal," katanya.

Mengikut jadual, minggu ketiga akan menyaksikan sembilan lagi lagu bersaing bagi merebut tempat ke Anugerah Juara Lagu ke-35 (AJL35).

Malah, 12 lagu yang layak ke AJL35 juga akan diumumkan dalam episod berkenaan.



Sembilan lagu yang akan bertanding pada episod ketiga ini.

Sembilan lagu yang akan dipertandingkan malam ini ialah Hello nyanyian Ismail Izzani dan Andi Bernadee, Eh (Zizi Kirana), Semalam (Aina Abdul), Belenggu Rindu (Wany Hasrita/ Datuk Jamal Abdillah) dan X Missing U (Dayang Nurfaizah, Tuju dan Yonnyboii).

Lagu lain ialah Takkan Terlerai (Syamel dan Ernie Zakri), Jangan Khianati Aku (Azlan & The Typewriter), Aku Kau dan Muzik (Stacy dan Akim Ahmad) dan Peluang Kedua (Nabila Razali).

Pada hari kedua yang berlangsung pada 20 November lalu, Alif Satar bersama kumpulan The Locos menyampaikan lagu I Want You To Love Me.

SFMM35 yang dihoskan oleh Haziq Hussni dan Sherry Al Hadad akan bersiaran di TV3 pukul 9 malam.

Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!

Artikel Lain