suria

Separuh Akhir Muzik-Muzik ke-35 ditunda selepas Alif Satar disahkan positif Covid-19

Separuh akhir muzik-muzik ditangguhkan atas faktor keselamatan selepas Alif Satar sah positif Covid-19.

SEPARUH Akhir Muzik-Muzik ke-35 (SFMM35) episod ketiga yang sepatutnya berlangsung pada malam Ahad terpaksa ditunda pada tarikh baharu yang akan dimaklumkan kelak.

Ia selepas penyanyi Alif Satar yang merupakan salah seorang penyanyi yang membuat persembahan pada episod pertama malam Jumaat lalu disahkan positif Covid-19.

Dalam satu kenyataan ringkas, TV3 memaklumkan produksi terpaksa menunda program tersebut atas faktor keselamatan.

ARTIKEL BERKAITAN: Alif Satar positif Covid-19 - “Saya mohon maaf... keputusan ini mendukacitakan”

"Sistem Televisyen Malaysia Berhad (STMB) sedang bekerja rapat dengan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan artis tersebut bagi mendapatkan maklumat terperinci pergerakan bagi langkah-langkah mengurangkan jangkitan.

"Kerja-kerja sanitasi di lokasi terbabit juga dilaksanakan mengikut prosedur operasi standard (SOP) oleh KKM. Kakitangan yang terlibat dalam produksi tersebut telah memulakan kuarantin dan kontak rapat artis berkenaan turut menjalani ujian calitan (swab test)," katanya.

Aliff positif Covid-19 dan buat persembahan pada malam Jumaat.

Mengikut jadual, minggu ketiga akan menyaksikan sembilan lagi lagu bersaing bagi merebut tempat ke Anugerah Juara Lagu ke-35 (AJL35).

Malah, 12 lagu yang layak ke AJL35 juga akan diumumkan dalam episod berkenaan.

Sembilan lagu yang akan dipertandingkan malam ini ialah Hello nyanyian Ismail Izzani dan Andi Bernadee, Eh (Zizi Kirana), Semalam (Aina Abdul), Belenggu Rindu (Wany Hasrita/ Datuk Jamal Abdillah) dan X Missing U (Dayang Nurfaizah, Tuju dan Yonnyboii).

Lagu lain ialah Takkan Terlerai (Syamel dan Ernie Zakri), Jangan Khianati Aku (Azlan & The Typewriter), Aku Kau dan Muzik (Stacy dan Akim Ahmad) dan Peluang Kedua (Nabila Razali).

Pada Jumaat, Alif Satar bersama kumpulan The Locos menyampaikan lagu I Want You To Love Me.

Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!

Artikel Lain