Tidak adil jika batal... Ogy Ahmad Daud teruskan Konsert Khai Bahar, tapi bukan di Istana Budaya - “InsyaAllah kita buat sebelum hujung tahun ini”

Konsert Khai Bahar akan tetap diteruskan meskipun mereka terpaksa bertukar ke lokasi baharu.

STATUS mengenai Konsert Khai Bahar: Dari Smule Ke Pentas Dunia terjawab apabila penganjur yang juga penerbit Fauziah Ahmad Daud mengesahkan persembahan sulung penyanyi itu akan tetap diteruskan meskipun mereka terpaksa menukar lokasi baharu.

Fauziah atau lebih dikenali sebagai Ogy berkata, pihaknya sedang berbincang beberapa perkara berkaitan dan memberitahu konsert itu dijangka akan berlangsung pada hujung tahun ini.

“Saya ambil maklum mengenai pertanyaan daripada beberapa pihak termasuk peminat yang sudah membeli tiket. Jadi, ingin dinyatakan saya selaku penganjur akan tetap meneruskan konsert sulung Khai Bahar ini.

ARTIKEL BERKAITAN: Khai Bahar tunggu kata putus Ogy, masih letak harapan untuk konsert sulung di IB - “Saya tidak akan tarik diri”

“Seperti mana besarnya harapan peminat untuk menyaksikan konsert ini, begitu juga komitmen saya dan pasukan untuk merealisasikan persembahan ini yang sudah dirancang sejak awal tahun lagi.

“Cuma, disebabkan insiden yang semua tidak dapat elak iaitu Covid-19 dan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sehinggalah Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) ini membuatkan segala perancangan tergendala, ” katanya.



Khai mengharapkan konsert itu berlangsung seperti dirancang.

Sementara itu, Ogy berkata tidak adil jika mereka membatalkan program tersebut kerana pihaknya sudah melakukan 80 peratus persediaan.

“Sebenarnya, sebelum segala aktiviti konsert dan persembahan hiburan dibatalkan, Khai dan pasukan sudah bersedia. Ketika itu hanya menunggu tarikh sebenar konsert saja.

“Malah, selepas ada kelonggaran diberikan pihak kerajaan, pasukan juga sudah menyatakan kesediaan untuk kembali begitu juga dengan Khai. Jadi, adalah tidak adil jika konsert ini tidak diteruskan.

Pihak IB hanya membenarkan 500 penonton termasuk kru. Jadi, dengan segala kos yang perlu ditanggung, bagi saya ia tidak berbaloi.

OGY AHMAD DAUD

PENGANJUR KONSERT KHAI BAHAR.

“Jika semua perbincangan berjalan lancar, saya akan umumkan tarikh baharu persembahan. InsyaAllah kita nak buat sebelum hujung tahun ini, ” katanya.

Dalam pada itu, Ogy memaklumkan mereka terpaksa menukar dan mencari lokasi baharu berikutan kapasiti penonton di Istana Budaya (IB) terhad.

Memandangkan IB bukan lagi lokasi konsert berlangsung, justeru itu nama konsert juga akan ditukar.



Ogy selaku penerbit dan penganjur Konsert Khai Bahar.

“Pihak IB hanya membenarkan 500 penonton termasuk kru. Jadi, dengan segala kos yang perlu ditanggung, bagi saya ia tidak berbaloi.

“Disebabkan itu, saya dan pasukan perlu mencari solusi terbaik. Memandangkan konsert ini tidak dibuat di IB, jadi nama konsert ini juga akan ditukar. Nama terbaharu juga akan diumumkan kelak, ” katanya.

Konsert sulung Khai itu dijadual berlangsung pada 27 dan 28 Mac lalu di Istana Budaya, namun ia terpaksa ditangguhkan selepas wabak Covid-19 mula menular di Malaysia.

Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!

Artikel Berkaitan

Artikel Lain

Lelaki jual vaksin Covid-19 palsu ditahan