suria

Azza Elite geram didesak beri sumbangan, nasihatkan individu minta bantuan cari kerja! - “Saya juga berhempas pulas berniaga”

Azza terima banyak mesej daripada individu tidak dikenali mahukan bantuan.

PELAKON dan penyanyi Azza Elite meluahkan rasa kurang senang dengan sikap segelintir individu yang mendesaknya memberikan bantuan menerusi laman Instagram.

Menurut Azza, dia menerima banyak mesej peribadi (DM) daripada individu tidak dikenali yang meminta-minta bantuan sehingga ada yang tidak jujur dan menipu semata-mata ingin mendapatkan sedikit wang.

"Kak Za (panggilan Azza) nak tegur sikit ramai sangat DM Kak Azza minta bantuan, ya faham! Saya nak beritahu saya tak mampu nak tolong semua orang.

ARTIKEL BERKAITAN: Azza (Elite) tak menang tangan terima undangan selepas ‘Gegar Vaganza’

"Hari-hari kamu DM minta bantuan sampai mendesak... apakah? Saya sendiri hari-hari berniaga, bubuh gambar baju ada yang beli ada yang tidak tapi saya tetap yakin Allah bantu saya bukan bermakna kita duduk minta bantuan sahaja.

"Ada tu minta bantuan tapi gambar satu saja... mana kejujuran kamu, cuma berhentilah DM saya," katanya menerusi laman Instagram pada Selasa.



Luahan Azza di laman Instagram.

Sementara itu, Azza mengakui sebagai anak seni dia turut terkesan dengan keadaan semasa berikutan penularan wabak Covid-19.

Justeru itu, sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) ini dia hanya mengharapkan jualan pakaian secara dalam talian bagi menampung kehidupannya dan keluarga.

"Saya juga berhempas pulas... tolong faham saya tidak ada gaji bulanan, saya tidak meniaga di Singapura sudah empat bulan. Mujur saya ada shooting, duit inilah saya tolong mak dan keluarga.

"Nasib hutang kereta bank bagi tangguhan pembayaran, saya jimat kos dengan tutup kedai dan buat online sahaja. Kalau tak ada penggambaran saya sanggup hantar barang kepada pelanggan.



Azza lakukan pelbagai pekerjaan bagi menampung kehidupan.

"Tolong faham saya, janganlah meminta sampai mendesak-desak, kalau saya dapat pergi Singapura (berniaga) sedap juga... tapi pintu belum dibuka! Mudah-mudahan yang meminta faham keadaan saya," ujarnya.

Dalam pada itu, Azza menasihati individu berkenaan berusaha mencari sumber pendapatan menggunakan kudrat yang ada dan sentiasa percaya dengan rezeki Allah SWT.

"Tahu tak saya simpan duit syiling dan apabila penuh saya tidak malu tukar di mesin sebab saya tahu bila saya susah hanya Allah sahaja yang mampu tolong tetapi Allah tengok usaha kita.

"Carilah kerja kalau kamu lelaki ada tangan, ada kaki... emak saya pernah buat dua, tiga kerja masa saya kecil. Dia cuci pinggan, cuci baju, jadi tea lady, kerja taska dan buat nasi lemak untuk dijual... saya rasa itu fasal dalam satu masa saya juga buat macam-macam kerja," katanya

Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!

Azza Elite

Artikel Lain