suria

Gabungan 6 suara! Sufian Suhaimi teruja nyanyi lagu raya ciptaan komposer 'legend' - “Rasa seronok dia lain macam”

Sufian Suhaimi teruja menyanyikan lagu raya ciptaan komposer hebat.

PENYANYI Sufian Suhaimi teruja apabila dapat berkolaborasi bersama barisan artis di bawah naungan syarikat rakaman Aries Music dalam lagu raya terbaharu berjudul Suasana Hari Lebaran.

Lebih membanggakan apabila lagu tersebut merupakan ciptaan komposer hebat, S Atan dan lirik pula dihasilkan oleh Siso Kopratasa.

Menurut Sufian, ini adalah lagu pertama menggabungkannya dengan lima lagi penyanyi dan merupakan impiannya untuk menyanyikan lagu hasil sentuhan komposer berpengalaman itu.

ARTIKEL BERKAITAN: Sufian Suhaimi rupa-rupanya ada lagu raya!

"Ini adalah lagu raya pertama yang menggabungkan saya dengan artis Aries... rasa seronok dia lain macam lebih-lebih lagi dapat bekerjasama dengan komposer yang memang legend!

"Apabila menyanyikan lagu yang ditulis komposer terkenal, saya rasa ianya bagaikan satu penghargaan dan memang rasa kelainan antara komposer lama dan baharu.



Enam penyanyi bergabung suara dalam lagu raya berjudul Suasana Hari Lebaran.

"Apabila dengar lagu ni kita dapat rasa vibe lagu-lagu raya yang biasa kita dengar dari kecil, macam ada magik yang kita rasa... sangat seronok dapat peluang menyanyikan lagu ini," katanya kepada mStar.

Suasana Hari Lebaran merupakan gabungan vokal enam penyanyi remaja iaitu Sufian Suhaimi, Luqman Faiz, Aiman Tino, Fieya Julia, Fara Hezel dan Yazid Izaham.

Memandangkan terikat dengan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), Sufian berkata video muzik (MV) terpaksa dirakamkan oleh penyanyi sendiri di rumah masing-masing.



Rakaman MV dilakukan di rumah masing-masing kerana terikat PKP.

"Lagu ni sempat dirakamkan sebelum tempoh PKP dikuat kuasa pada Mac lalu dan ikutkan penggambaran MV pada penghujung Mac lalu, tetapi terpaksa dibatalkan berikutan PKP dilaksanakan.

"Jadi rakaman MV terpaksa dibuat di rumah masing-masing... ada manisnya dalam penghasilan lagu ini dan ia akan terpahat menjadi kenangan terindah buat kami artis di bawah naungan Aries Music.

"Besar harapan kami lagu ini diterima semua orang dan akan memeriahkan lagi suasana hari raya yang bakal disambut tidak lama lagi," ujarnya.

Suasana Hari Lebaran telah dimuat naik di laman Youtube Aries Music sejak 12 Mei lalu.

Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!

Artikel Lain