suria

Tak sanggup lihat orang susah, Dayana Roza ambil risiko hulur bantuan - “Hati saya senipis sehelai tisu”

Dayana menggunakan wang simpanannya untuk membantu golongan asnaf.

MESKIPUN berdepan dengan risiko yang sangat tinggi untuk jangkiti wabak Covid-19, pelakon Dayana Roza sanggup bergadai nyawa demi membantu golongan kurang bernasib baik.

Menurut Dayana, 29, dia tidak mengharapkan sebarang balasan namun hanya meminta doa agar dirinya sentiasa sihat untuk meneruskan kerja amalnya itu.

ARTIKEL BERKAITAN: “Tiada niat timbulkan kontroversi, kita hanya ambil konsep less is more” - Gaya berkemban Dayana Roza dalam poster iklan dikritik

"Pada mulanya, memang ada ahli keluarga saya melarang untuk keluar beri bantuan sebab mereka risau saya mengidap asma yang teruk dan mempunyai risiko yang tinggi untuk dijangkiti Covid-19.

"Tapi saya selalu kata pada keluarga yang saya rela berkorban nyawa sebab tak sanggup nak melihat orang dalam kesusahan, tak makan terutama orang yang ada anak kecil lagi.

"Saya tak ada teman lelaki, tak ada suami atau anak, jadi saya tak kisah jika sudah ditakdirkan terkena Covid-19. Asalkan saya dapat membantu golongan yang kurang bernasib baik.

"Apa yang saya lakukan ini ikhlas dan apa yang saya harapkan hanya doa daripada semua orang supaya saya sentiasa sihat untuk teruskan beri bantuan," katanya kepada mStar.

Pemilik nama Nur Dayana Kamsun Baharin ini antara selebriti yang sanggup 'turun padang' memberi bantuan seperti barangan keperluan dengan menggunakan wang simpananya kepada orang yang memerlukan.

Apa yang saya lakukan ini ikhlas dan apa yang saya harapkan hanya doa daripada semua orang.

DAYANA ROZA

PELAKON

Dalam pada itu, Dayana memberitahu dia sebelum ini enggan menghebahkan program atau kerja amal yang dilakukannya kepada umum kerana bimbang masyarakat akan menganggap dirinya riyak.

Bagaimanapun, dia terpaksa menggunakan platform laman sosialnya untuk mendapatkan info lebih banyak mengenai golongan asnaf daripada pengikutnya.

"Sebenarnya dari dulu lagi saya suka buat kerja amal dan peminat serta rakan terdekat saya juga tahu perangai saya. Cuma, selama ini saya tak suka hebahkan kepada umum atau berkongsi di Instagram.

Dayana turut menghulurkan bantuan kepada Angkatan Pertahanan Awam.

"Bimbang dengan tanggapan orang, nanti ada yang kata saya riyak pula tapi kali ini saya terpaksa juga menggunakan platfrom media sosial untuk berkongsi mengenai bantuan yang saya lakukan.

"Dengan adanya perkongsian itu, saya juga banyak dapat info daripada pengikut saya mengenai golongan asnaf yang perlukan bantuan. Selain itu, ramai orang turut sudi membantu.

"Terutama rakan-rakan saya yang turut serta memberi bantuan. Jadi, laman sosial ini memberi peluang untuk orang lain bantu orang yang duduk di kawasan mereka juga," ujarnya.

Artikel Lain

Ular sawa menyorok bawah katil kanak-kanak