suria

Netizen serang IG Fikry Ibrahim, dikatakan keluar rumah tak bawa dokumen masa PKP - “Betul ke awak yang kena u-turn tu?”

Fikry Ibrahim dikaitkan sebagai individu dalam kenderaan yang ditahan oleh polis dalam satu sekatan jalan raya.

RAKAMAN memperlihatkan seorang lelaki diarah membuat pusingan semua atau u-turn dalam satu sekatan jalan raya selepas gagal menunjukkan bukti alamat kediaman menjadi tular di laman sosial sejak Khamis lalu.

Biarpun wajahnya tidak kelihatan kerana memakai topeng muka, namun netizen mendakwa individu tersebut ialah pelakon Fikry Ibrahim berdasarkan suara serta maklumat yang diberikan kepada polis.

Gara-gara dakwaan tersebut, netizen mula membanjiri ruangan komen pada Instagram pelakon tersebut bagi mendapatkan pengesahan mengenai kejadian itu.

ARTIKEL BERKAITAN: Kahwin? Nanti dulu... 2020 tahun Fikry Ibrahim sebagai usahawan! - “Saya tangguh soal cinta dan rumah tangga”

"Roadblock hari itu kena u-turn ke? Kereta dengan tempat asal di Jitra, Kedah macam sama je.

"Fikry ni la kot yang kena marah dengan polis sebab keluar tak bawa dokumen? Betul ke awak yang kena u-turn tu?

"Kena sound dengan polis kecut tak? Orang suruh duduk rumah... sekali kena jerit dengan abam polis. Jangan lupa dokumen," katanya.

Netizen komen di Instagram Fikry mahu dapatkan kepastian.

Pada Rabu lalu, sebuah portal berita menerusi siaran langsung di Facebook melaporkan mengenai sekatan jalan raya yang diadakan di salah satu lokasi di Petaling Jaya, Selangor.

Ia susulan penguatkuasaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang sudah memasuki fasa kedua sehingga 14 April ini.

Dalam perbualan rakaman tersebut, individu berkenaan memberitahu dia baru pulang membeli barangan dapur di sebuah pasaraya di Kota Damansara dan ingin pulang ke kediamannya yang terletak di Damansara Perdana, Selangor.

Bagaimanapun, dia gagal menunjukkan bukti menyatakan dirinya tinggal di kawasan tersebut.

Individu dalam kenderaan tersebut berkata dia tidak mengetahui perlu membawa dokumen tempat tinggal jika keluar rumah sepanjang PKP ini.

Sumber terdekat yang berada di lokasi kejadian memaklumkan tidak mengetahui identiti lelaki yang disoal polis itu.

Malah sehingga kini, pelakon drama Kau Yang Pertama ini masih belum mengeluarkan sebarang kenyataan berhubung perkara berkenaan.

Namun menerusi Instastory, Fikry ada memuat naik foto seorang negarawan Amerika Syarikat, Abraham Lincoln berserta sebaris ayat.

"Don't believe everything you read on the internet just because there's a picture with a quote next to it," tulis pada foto tersebut.

PKP, Fikry Ibrahim

Artikel Lain