suria

Bella Astillah nafi jaja kisah peribadi dalam lagu - “Sentiasa bersangka baik dengan ujian hidup!”

Bella teruja hasilkan lagu baharu untuk peminat.

MUNCUL dengan lagu baharu berjudul Tenang, penyanyi Bella Astillah menafikan karya itu berkisahkan tentang perjalanan hidupnya.

Sebaliknya, Bella atau nama sebenar Dayang Nabellah Awang Astillah, 26, berkata single terbaharunya itu dihasilkan untuk memberi semangat kepada pendengar supaya sentiasa positif.

"Saya percaya setiap individu inginkan kehidupan yang baik. Bagi saya, apabila kita sentiasa positif, InsyaAllah mudah untuk berasa tenang. Daripada situ saya dan komposer mendapat sedikit inspirasi untuk lirik lagu Tenang.

ARTIKEL BERKAITAN: Apa motif ‘post’ video lama? Netizen syak Aliff Aziz dan Bella Astillah kembali dilamun cinta

"Lirik lagu ini tidak sepenuhnya mengenai perjalanan hidup saya, tapi lebih kepada ingin berkongsi perasaan positif untuk sentiasa bersangka baik dengan ujian dan jangan putus asa.

"Proses merakamkan lagu Tenang sangat tenang... Alhamdulillah semuanya dipermudahkan dengan bantuan Audi Mok membuatkan saya lebih selesa dan sangat mudah," katanya.

Bella rakam lagu baharu hadiah Bella untuk peminat.

Selain minat mendalam terhadap bidang seni suara, bekas isteri kepada penyanyi Aliff Aziz ini berkata dia bersetuju untuk muncul dengan lagu baharu kerana permintaan peminat.

Malah, Bella menganggap buah tangan terbaharunya ini sebagai hadiah cukup bermakna untuk mereka yang tidak henti memberikan sokongan.

"Sebelum ini, saya sering menyanyikan lagu cover dan ramai peminat inginkan saya untuk ada lagu sendiri.

Saya tidak pernah meletakkan harapan tinggi dengan niat untuk lagu ini popular!

BELLA ASTILAH

PENYANYI

"Kalau dikira semula, lagu terakhir yang dirakam oleh saya adalah lagu tema drama Diari Ramadan Rafique... tapi itu semasa saya berusia 12 tahun.

"Jadi saya fikir sekarang ini adalah waktu terbaik untuk saya ada lagu sendiri sebagai hadiah kepada pendengar setia lagu cover saya di media sosial,” katanya.

Dalam pada itu, Bella berkata kehadirannya dalam bidang seni ini bukanlah untuk bersaing dengan mana-mana penyanyi.

Bella bersedia lagunya tercalon dalam mana-mana pertandingan.

Malah, dia menganggap peluang untuk merakamkan lagu baharu ini sebagai rezeki yang tidak mungkin ditolak.

"Saya percaya pihak Universal Music lebih tahu mengenai apa yang terbaik untuk lagu ini, namun saya tidak pernah meletakkan harapan tinggi dengan niat untuk lagu ini popular.

"Bagaimanapun, saya tetap inginkan yang terbaik. Kalau ada rezeki untuk mana-mana pertandingan saya tidak menolak.

"Saya juga percaya semua penyanyi berharap lagu mereka dapat diterima pendengar dengan baik dan positif. Doakan semoga lagu ini dipermudahkan," katanya.

Lagu Tenang akan dilancarkan secara rasmi di kesemua platform digital pada Jumaat.

Manakala video muzik pula dilancarkan di saluran YouTube Universal Music Malaysia pada pukul 3.00 petang.

Bella Astillah, Tenang

Artikel Lain