suria

Anugerah MeleTOP Era 2020 ditangguh! - “Langkah berjaga-jaga untuk membendung penyebaran Covid-19”

Tarikh baharu AME2020 akan diumumkan kelak.

MALAM berprestij Anugerah MeleTOP Era 2020 (AME2020) yang sepatutnya berlangsung pada 12 April depan ditangguhkan berikutan penularan wabak Covid-19.

Menerusi kenyataan media kepada mStar, keputusan itu dibuat sejajar dengan pengumuman serta saranan kerajaan untuk menangguhkan sebarang perhimpunan termasuk mesyuarat antarabangsa, acara sukan, sosial dan keagamaan sehingga 30 April depan.

Justeru itu, pihak Astro memaklumkan mereka kini dalam usaha menetapkan tarikh baharu untuk acara tersebut dengan mengambil kira keadaan semasa Covid-19.

ARTIKEL BERKAITAN: Senarai penuh pencalonan AME2020, Mira Filzah dan Siti Nordiana ‘sangkut’ empat kategori

ARTIKEL BERKAITAN: Ramai suka tonton episod zoo mini Afieq Shazwan, segmen #Bizibody tercalon Top 5 Program MeleTOP AME2020

"Ini merupakan sebahagian daripada usaha proaktif dan langkah berjaga-jaga yang diambil Astro untuk membendung penyebaran wabak tersebut bagi memastikan keselamatan kesemua pihak yang terlibat diutamakan.

Siti Nordiana dan Mira Filzah ungguli pencalonan Top 5 AME 2020.

"Pihak Astro kini dalam usaha menetapkan tarikh baharu untuk acara tersebut dan masih belum boleh berkongsi sebarang maklumat lanjut mengenainya kerana perlu mengambil kira situasi semasa.

"Selain itu, faktor-faktor lain seperti ketersediaan lokasi dan kesesuaian tarikh para selebriti tanah air perlu dipertimbangkan," katanya.

AME2020 menyaksikan 15 kategori dipertandingkan dan salah satu rancangan terbitan mStar iaitu #Bizibody tercalon bagi kategori Program MeleTOP.

Bizibody episod Intai Zoo Mini Afieq Shazwan itu bersaing dengan empat lagi program iaitu Big Stage Siri 2 Akhir, Gegar Vaganza Siri 6 Episod 7, Maharaja Lawak Mega 2019 Akhir dan Sepahtu Reunion Live 2019 Akhir.

Dalam pada itu, sesi undian fasa kedua untuk mengundi senarai Top 5 bintang kegemaran yang dibuka sejak 3 Mac lalu akan diteruskan seperti biasa menerusi laman web rasmi AME 2020 di www.anugerahmeletopera.com.my dan aplikasi SYOK serta melalui kiriman SMS hingga 12 April 2020, jam 12.00 tengahari. 

Kiraan penuh undian untuk penganjuran AME2020 juga akan terus dibuat sejurus selepas talian undian ditutup, mengikut perancangan asal.

AME 2020, Bizibody

Artikel Lain