suria

“Beruntung pergi dalam tidur, kami masih tak percaya!” - Rakan artis, peminat banjiri Instagram Ashraf Sinclair

Berita pemergian Ashraf mengejutkan ramai pihak.

PEMERGIAN pelakon Ashraf Sinclair mengejutkan ramai pihak terutamanya peminat serta rakan artis dari Malaysia dan Indonesia.

Menerusi Instagram milik Ashraf, peminat dan rakan artis membanjiri ruangan komen menyampaikan ucapan takziah untuk keluarga.

Malah, ada juga yang masih terkejut dan tidak menyangka Ashraf akan meninggal dunia pada usia 41 tahun.

ARTIKEL BERKAITAN: Ashraf Sinclair meninggal dunia akibat serangan jantung

"Kami semua terkejut! Salam takziah untuk Bunga Citra Lestari dan anak... juga kepada keluarga Sinclair, semoga tuhan merahmati rohnya... anda seorang lelaki yang baik," kata Ning Baizura.

"Sangat mengejutkan kami, beruntung Ashraf pergi dalam tidur... semoga Allah mengampuni dosanya dan tempatkannya dalam kalangan orang-orang beriman," tulis Yasmin Hani.

"Semoga Allah menempatkan Ashraf di syurga dan keluarganya terus bersabar," komen Neelofa pula.

Peminat dan rakan artis membanjiri ruangan komen di foto terakhir Ashraf.

Foto terakhir yang dimuat naik Ashraf pada Ahad lalu itu menerima hampir 150,000 tanda suka dan lebih 20,000 komen daripada pengikut.

Selain selebriti Malaysia, ruangan komen turut dipenuhi dengan ucapan daripada rakan artis Indonesia.

"Turut berduka atas perginya Ashraf, semoga almarhum ditempatkan di syurga terindah Allah, semoga Bunga diberikan kesabaran seluas-luasnya... Insya Allah nanti akan disatukan kembali keabadian," kata Melly Goeslaw.

"Masih tak percaya ini berlaku, semoga dipermudahkan urusan dan dikuatkan keluarganya," tulis Dian Sastrowardoyo.

Ashraf bersama isteri Bunga Citra Lestari dan anak mereka Noah.

"Masih bingung dengan berita ini, tak percaya! Semoga semua amal ibadahmu diterima dan dosanya dihapuskan," komen Baim Wong pula.

Pada pagi Selasa, suami kepada pelakon Bunga Citra Lestari ini meninggal dunia akibat serangan jantung.

Berita sedih itu disahkan sendiri oleh ibu allahyarham, Khadijah Abdul Rahman menerusi mesej di aplikasi WhatsApp kepada mStar.

Ashraf meninggalkan isteri dan seorang anak lelaki bernama Noah Aidan Sinclair yang kini berusia 10 tahun.

Ashraf Sinclair, meninggal dunia

Artikel Lain