suria

Penyanyi baharu Razak A'ai jadi perhatian gara-gara vokal mirip Cakra Khan

Razak A'ai tampil dengan single terbaharunya berjudul Aku Setia.

BIARPUN single berjudul Aku Setia belum dilancarkan secara rasmi namun pendatang baharu, Razak A'ai sudah pun menjadi perhatian netizen yang menyamakan vokalnya dengan penyanyi terkenal Indonesia, Cakra Khan.

Mengulas mengenai persamaan itu, Razak berkata, meskipun dia berbesar hati ada yang menyamakan vokalnya dengan Chakra namun tetap menaruh harapan agar penggemar muzik tempatan dapat melihat kelebihan dan identitinya sendiri.

"Saya optimis tentang persamaan yang dikatakan malah menganggap ia sebagai satu bonus. Cumanya, harap-harap saya tidak terus dibayangi dengan perkara itu kerana saya juga mempunyai kelebihan dan identiti tersendiri," katanya.

ARTIKEL BERKAITAN: Anda suka program hiburan mana? Tiga video mStar bersaing dalam Anugerah MeleTOP Era 2020

Video muzik lirik lagu yang digubah sepenuhnya oleh Razak yang dimuat naik di YouTube sejak 11 Januari lalu sudah pun mendapat lebih 60,000 tontonan.

Ramai menyifatkan vokal Razak mempunyai persamaan dengan Cakra Khan.

Bercerita mengenai Aku Setia, Razak memberitahu ibunya adalah inspirasi terhadap gubahan lagu itu yang pada awalnya menentang keputusannya untuk bergelar seorang penyanyi.

Tentangan itu berikutan sebelum ini dia pernah mencuba nasib sebagai penyanyi namun lagu yang dilancarkan tidak mendapat sambutan seperti diharapkan.

"Sebelum bersama Todak Music, saya pernah menaungi sebuah syarikat rakaman sebelum ini dan berhijrah ke Kuala Lumpur untuk mengejar cita-cita sebagai menyanyi di usia yang sangat muda, iaitu 18 tahun malah pernah menghasilkan sebuah lagu namun ia tidak menjadi.

"Kehidupan sebagai anak seni sangat mencabar... Keadaan itu mendesak saya pulang ke kampung halaman dan ibu sarankan saya mencari pekerjaan lain di Kuching.

Razak berharap Aku Setia dapat mengubah nasibnya sebagai penyanyi. 

"Namun hendak dijadikan cerita, saya dapat tawaran daripada Todak Music dan keputusan kembali ke Kuala Lumpur mendapat tentangan ibu pada awalnya. Tapi saya berjanji bawa pulang kejayaan kali ini dan berharap ibu saya 'setia' menunggu saat itu," ujarnya.

Sering terinspirasi dengan karya pop dari negara seberang, Aku Setia kata Razak mengetengahkan melodi mesra pendengar sebagaimana kebanyakan genre muzik dari Indonesia.

Sebagai kelainan, dia menampilkan bintang kecil berbakat besar yang cukup sinonim dengan persembahan ukulele, Alyssa Dezek.

"Saya sudah bersedia mengegarkan seni muzik tempatan dan berharap kali ini nasib menyebelahi saya dan yakin dapat menawarkan kepelbagaian kepada industri seni.

"Harap suatu hari nanti saya diberi peluang berkolaborasi dengan penyanyi serta komposer tempatan, menghasilkan lagu buat mereka. Saya percaya gabungan idea dapat menghasilkan sebuah karya yang lebih menarik," katanya.

Razak A'ai, Chakra Khan, Aku Setia

Artikel Lain