suria

Prestasi persembahan merudum, Santesh gagal mara ke semi final Big Stage

Santesh gagal meneruskan perjuangan di Big Stage.

PESERTA Big Stage musim kedua, Santesh gagal mara ke semi final apabila diumumkan tersingkir pada konsert minggu keenam yang berlangsung pada malam Ahad.

Santesh merupakan antara tiga peserta yang menduduki tangga tercorot apabila menerima 70.50 peratus undian, Fieya Julia (69.83 peratus) dan Dinda Permata (72.50 peratus).

ARTIKEL BERKAITAN: “Bila masa biadab? Mereka perlu selidik dahulu latar belakang saya” - Santesh dituduh tak hormat komen Siti Nurhaliza

Bagaimanapun peserta dari Indonesia Dinda Permata diselamatkan selepas menerima imuniti daripada juri jemputan dari Indonesia Judika.

Menerusi video temu bual di Instagram, Judika memberitahu imuniti itu diberikan kepada Dinda selepas melihat kedudukan markahnya tertinggi antara tiga prestasi terendah.

Manakala keputusan untuk menyingkirkan Santesh pula diambil kira daripada keseluruhan persembahannya dari minggu awal hingga kini yang dilihat semakin merudum.

Dinda terselamat kerana imuniti Judika.

“Saya yang bertanggungjawab terhadap imuniti itu disebabkan hanya saya dan Cakra saja yang boleh menggunakannya. Jadi, saya melihat kedudukan markah, Dinda antara tiga prestasi terendah tapi mendapat markah tinggi antara tiga peserta itu.

“Bagi saya lihat persembahan dari minggu awal sampai kini. Saya melihat persembahan Santesh pada mulanya bagus tapi lama-kelamaan semakin agak menurun.

“Manakala peserta lain minggu awal persembahan sederhana tapi dilihat mereka semakin meningkat. Kita memilih yang terbaik dari segi persembahan yang semakin meningkat baik,” katanya.

Pada minggu keenam itu, Santesh menyampaikan lagu nyanyian asal Judika berjudul Jikalau Kau Cinta nyanyian serta berduet bersama Dinda Permata menyampaikan Lagu Untukmu.

Dengan tersingkirnya Santesh, kini hanya tujuh peserta iaitu Han-Byul, Neeta, Adzrin, Irfan, Fieya, Kucaimars dan Dinda bakal berentap pada konsert minggu ketujuh dengan temanya Cover Road to Final.

Big Stage minggu keenam diadili dua juri profesional tetap iaitu Datuk Seri Siti Nurhaliza dan juri jemputan, Judika serta Dayang Nurfaizah.

Program realiti itu dihoskan oleh Alif Satar bersama Sherry Alhadad dan bersiaran secara langsung dari Auditorium Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) setiap Ahad pukul 9 malam.

Santesh, Big Stage

Artikel Lain