Siti Fazurina fail cerai lagi, tapi minta hakim tangguh kes... “Apabila tiba di mahkamah hati saya terdetik nak beri peluang” - Hiburan | mStar

Siti Fazurina fail cerai lagi, tapi minta hakim tangguh kes... “Apabila tiba di mahkamah hati saya terdetik nak beri peluang”

Siti Fazurina mahu beri peluang kepada suami dan dirinya untuk perbaiki hubungan mereka.

TIADA angin tiada ribut, rupa-rupanya pelakon yang dikenali menerusi drama Dunia Anita iaitu Siti Fazurina Mohd Famir, memfailkan perceraian terhadap suaminya, Muhammad Hykal Zulkifli buat kali ketiga sekitar Ogos lalu.

Susulan itu Mahkamah Syariah Wilayah Persekutuan, Kuala Lumpur menetapkan pada Rabu sebagai hari sebutan kes bagi permohonan cerai berkenaan.

Bagaimanapun jodoh pasangan ini masih panjang apabila Siti Fazurina memohon kepada mahkamah supaya kes berkenaan ditunda ke tarikh lain yang akan ditentukan kemudian.

Kata Siti Fazurina, 37, dia ingin memberi peluang kepada dirinya dan suami untuk memperbaiki hubungan mereka.

“Ogos lalu saya failkan cerai sekali lagi dan sepatutnya prosiding berlangsung hari ini. Namun apabila tiba di mahkamah, hati saya terdetik untuk memberi peluang bukan sahaja untuk suami tapi untuk diri sendiri juga.

Siti Fazurina memfailkan perceraian terhadap suaminya buat kali ketiga.

“Kami tak ada bergaduh dan masih berkawan baik tetapi untuk hubungan suami-isteri itu kami kena bincang lagi.

“Masalah rumah tangga kami biarlah hanya saya, suami dan Allah saja yang tahu,” kata Siti Fazurina kepada mStar.

Permohonan untuk menunda kes berkenaan dipersetujui Hakim Syarie Ahmad Muttaqqi Ismail dari dalam kamar.

Menurut Siti Fazurina, mahkamah akan menetapkan semula tarikh bagi sebutan kes permohonan cerainya.

Dia memfailkan permohonan cerai mengikut Seksyen 47 Akta Undang-Undang Keluarga Islam (Wilayah Persekutuan) 1984.

Untuk rekod, sekitar Ogos 2017, Siti Fazurina menimbulkan sedikit persoalan mengenai status perkahwinannya.

Siti Fazurina.

Pelakon yang lebih mesra disapa Nina mengakui memfailkan permohonan cerai secara baik terhadap suaminya, Muhammad Hykal Zulkifli, 36, pada 10 Julai 2017.

Bagaimanapun, pada 22 Ogos 2017 dia telah menarik semula permohonan cerai tersebut tanpa menjelaskan sebab berbuat demikian.

Dalam pada itu, Siti Fazurina berkata dia dan suami masih tinggal bersama termasuk dengan keluarga.

Menerusi laporan mStar pada 26 Mac 2013, Siti Fazurina mencetuskan kontroversi apabila terpaksa bernikah buat kali kedua selepas Mahkamah Rendah Syariah Daerah Timur Laut, Pulau Pinang mendapati perkahwinan kali pertamanya dengan Muhammad Hykal tidak sah mengikut hukum syarak.

Ibu kepada pelakon itu, Zubaidah Abu Bakar, 61, berkata, akad nikah tersebut telah dijalankan di Pejabat Agama Islam, Bahagian Timur Laut, Pulau Pinang pada 20 Mac 2013 berwalikan adik kandungnya, Mohd Firdaus Mohd Famir selepas kes itu dibicarakan di mahkamah berkenaan pada hari sama.

Pasangan itu melangsungkan perkahwinan di Masjid Jamek Sungai Pinang, Pulau Pinang pada 20 Disember 2012 berwalikan bapa saudaranya, Mohd Fahmi Freedam Shah tanpa pengetahuan ibu dan ahli keluarganya yang lain.

Siti Fazurina , Dunia Anita

Artikel Lain