suria

“Perasaan saya remuk dan patah hati...” - Faizal Tahir batal hasrat adakan konsert, umum berundur daripada industri

Faizal Tahir terkesan dengan berita kehilangan dua gitaris terkenal dan mengumumkan untuk berehat panjang.

PENYANYI Faizal Tahir mengumumkan untuk berehat panjang daripada industri hiburan selepas terkejut dengan berita pemergian dua individu rapat dengannya iaitu pemain gitar Wan Kelly dan Fauzi Samin atau dikenali sebagai Aji.

Menyifatkan ia sebagai kehilangan besar buat dirinya, Faizal atau nama sebenarnya Ahmad Faizal Mohammad Tahir, 40, berkata, dia juga membuat keputusan untuk membatalkan hasrat mengadakan konsert berskala besar yang dirancangnya sebelum ini.

ARTIKEL BERKAITAN: Sambutan hari lahir terakhir... pemain gitar popular Aji Samin meninggal dunia, tak sempat jayakan ABPBH32

ARTIKEL BERKAITAN: Faizal Tahir kongsi MV ‘Ragaman’ tak jadi

"Dua telah pergi... dalam tempoh empat bulan saya kehilangan dua individu yang saya anggap abang, dua insan penting dalam kumpulan dan muzik saya.

"Individu utama dalam setiap persembahan 'live'. Mereka juga yang ada di belakang saya selama ini yang mendorong dan membantu bila-bila masa saya memerlukan mereka.

Wan Kelly dan Aji menjadi tulang belakang dalam setiap persembahan live Faizal Tahir.

"Mereka memainkan peranan yang amat besar dalam penghasilan muzik dan persembahan saya. Mereka pergi dan tiada pengganti... persembahan live saya takkan pernah hidup tanpa mereka.

"Saya percaya ini masa terbaik untuk mengumumkan bahawa tidak akan ada konsert berskala besar seperti yang dirancang. Namun berharap ia akan diadakan pada masa hadapan sebelum saya mengundurkan diri," ujarnya.

Faizal mengumumkan perkara itu menerusi posting yang dimuat naik di laman Instagram miliknya pada Jumaat.

Dalam pada itu, penyanyi lagu Ragaman ini turut menyifatkan pemergian dua gitarisnya itu adalah petunjuk buat dirinya bersara daripada industri hiburan tanah air.

Faizal Tahir mengumumkan untuk berehat panjang.

"Saya tak percaya ianya hanya kebetulan. Setiap yang berlaku pasti ada hikmah. Dan apa yang terjadi ini juga ada sebabnya. Ini peringatan dan petanda untuk saya berundur.

"Ya, perasaan saya remuk dan patah hati... tapi saya tahu pasti kamu berada di tempat yang sangat indah di mana kita semua hanya mampu membayangkan sahaja.

"Kamu manusia hebat, suci dan berhati mulia. Allah lebih sayangkan kamu, abang. Masa saya juga akan tiba tetapi ketika ini saya masih di sini dan saya percaya ada banyak lagi ibadah dan tanggungjawab yang perlu saya lakukan dalam hidup sebelum saya dapat berjumpa kalian semula. Allah Maha Mengetahui. Innalillahi wa’inna ilaihi raji’uun," tulisnya lagi.

Ini peringatan dan petanda untuk saya berundur.

FAIZAL TAHIR

Penyanyi

Pemain gitar bass, Ally Rahman atau Wan Kelly Abdul Rahman meninggal dunia ketika sedang melakukan sesi latihan dan ujian bunyi (soundcheck) di sebuah taman tema di Ipoh, Perak pada 4 Mei lalu.

Dunia hiburan sekali lagi dikejutkan dengan berita kehilangan pemain gitar terkenal, Fauzi Samin atau lebih dikenali sebagai Aji, 50, yang meninggal dunia akibat serangan jantung di sebuah pusat perubatan di Bukit Rimau, Shah Alam kira-kira pukul 11.45 pagi Khamis.

Faizal Tahir, Ragaman

Artikel Berkaitan

Artikel Lain