Allahuakbar! Momen Neelofa rasai sendiri hujan membasahi bumi Arafah undang rasa teruja, insaf - Hiburan | mStar

Allahuakbar! Momen Neelofa rasai sendiri hujan membasahi bumi Arafah undang rasa teruja, insaf

Neelofa menunaikan ibadah Haji buat kali kedua musim ini.

PERUBAHAN cuaca daripada panas terik kepada angin kencang disusuli hujan lebat ketika umat Islam melaksanakan wukuf di Padang Arafah benar-benar menginsafkan pelakon dan pengacara Neelofa yang dijemput melakukan ibadat haji pada tahun ini.

Menyifatkan ia sebagai pengalaman yang sukar dilupakan, Neelofa atau nama sebenarnya Noor Neelofa Mohd Noor, 30, berkata dia bersyukur apabila Allah menurunkan hujan ketika cuaca pada ketika itu panas terik.

Ketika momen itu berlaku kira-kira pukul 2.38 petang petang di Padang Arafah, Neelofa berada di luar khemah bersama ibunya.

ARTIKEL BERKAITAN: Bantu selesai masalah visa, Neelofa hadiah sejambak bunga kepada Zizan, “Terima kasih perkenalkan individu di kedutaan Arab Saudi”

ARTIKEL BERKAITAN: Bertuahnya mereka dapat jadi tetamu Allah... Ketahui 10 selebriti popular dapat tunai haji tahun ini

"Semalam semasa wukuf saya berada di luar khemah dan baru mula berdoa dalam satu jam. Ketika itu masih panas dan ramai jemaah masih di dalam khemah. Kemudian angin kuat dan berpasir... pelik sebab tak sangka hari wukuf jadi berangin dan sejuk.

"Kemudian hujan mula turun. Saya dan mak sahaja berada di luar khemah. Sheikh dan kebanyakan jemaah lain masih di dalam dan tiba-tiba dia berhenti dan semua jemaah keluar khemah sebab terkejut hujan turun ketika wukuf.

Antara momen yang sempat dikongsikan Neelofa di Instastory.

"Perasaan semasa hujan turun ni hanya Allah yang tahu. Tergamam, tak terkata," kata Neelofa.

Pengalaman indah itu diceritakan Neelofa menerusi beberapa video yang sempat dirakam dan dikongsikannya di Instastory.

Sepanjang tempoh haji kali ini, dilaporkan cuaca panas terik berlaku dengan suhu sekitar 40 hingga 49 darjah Celcius.

Tambah Neelofa lagi, sebaik sahaja fenomena perubahan cuaca itu berlaku, dia menyaksikan umat Islam yang berada di dalam khemah keluar menadah tangan untuk berdoa kepada Allah.

"Sheikh bacakan doa. Pertama kali dengar doa yang dibaca dengan sangat panjang, tanpa henti hampir satu jam.

"Masa ni payung (di luar khemah untuk berteduh) dah tumbang sebab angin kuat, kami dah habis basah lencun," kata Neelofa lagi.

Semoga perkongsian ini boleh buatkan hati anda semua lebih tidak sabar untuk melakukan ibadah haji.

NOOR NEELOFA MOHD NOOR

Pengacara

Dalam pada itu, Neelofa berharap perkongsiannya itu dapat memberi manfaat kepada para pengikutnya.

"Semoga perkongsian ini boleh buatkan hati anda semua lebih tidak sabar untuk melakukan ibadah haji.

"Tak sabar untuk merasai saat wukuf di Arafah, iaitu ketika doa paling mustajab.

"Insyallah, semoga dijemput secepat mungkin," tulisnya.

Neelofa , wukuf

Artikel Lain