“Ruangan itu wakaf dosa untuk diri sendiri” - Syafie Naswip sindir netizen ligat kecam, jatuhkan hukum kerana watak songsang - Hiburan | mStar

“Ruangan itu wakaf dosa untuk diri sendiri” - Syafie Naswip sindir netizen ligat kecam, jatuhkan hukum kerana watak songsang

Syafie memegang watak sebagai maknyah menerusi telefilem berjudul Demi Tuhan Aku Bersaksi.

PELAKON Syafie Naswip akhirnya membuka mulut selepas telefilem berjudul Demi Tuhan Aku Bersaksi yang dibintanginya menerima pelbagai kecaman termasuk golongan agamawan.

Menurut Syafie, 27, dia tidak kisah meskipun dilemparkan dengan pelbagai komen negatif khususnya menerusi laman sosial.

ARTIKEL BERKAITAN: “Babak dimanipulasi hingga nampak negatif” - Fadzil Zahari siasat individu bocorkan kandungan telefilem LGBT

ARTIKEL BERKAITAN: “Sibuk marah orang tak takut Tuhan, tapi gigih buat cerita hantu ajak orang takut syaitan” - Azhan Rani pertahan telefilem songsang

"Apa-apa pun, segala persoalan yang terucap atau tertulis di media sosial adalah persoalan tentang diri kamu sendiri.

"Apa yang kamu cari dalam hidup kamu. Jika kamu kerap mencari kesalahan, maka negatif yang kamu dapat. Jika kamu mencari erti hidup yang baik-baik, maka perkara baik akan melanda hidup kamu.

"Jadi saya tak kisah jika kamu ingin tulis sebanyak mana komen di Instagram kerana kamu yang membuka aib kamu sendiri. Ruangan itu wakaf dosa untuk diri sendiri. Yang akan menjawab dengan Tuhan juga nanti adalah kamu. Tepuk dada tanya selera," katanya.

Antara kenyataan yang dimuat naik Syafie di Insta story miliknya.

Syafie memuat naik kenyataan itu menerusi Instastory miliknya pada Sabtu.

Kata Syafie, biarpun watak yang dilakonkannya bertentangan dengan agama Islam, dia menyifatkan perkara itu sebagai salah satu cabang untuk anak seni sepertinya berdakwah.

"Apa jua watak yang saya dapat sama ada baik, jahat atau buruk, prinsip saya satu sahaja.

"Macam mana untuk saya sebagai 'pameran' meletakkan rasa dan niat itu supaya penonton yang menonton juga mendapat sesuatu yang baik daripada watak tersebut.

"Walaupun watak yang dibawa Subhanallah... jijiknya di mata manusia. Itulah tugas saya. Tak dapat banyak, sedikit pun jadilah. Itu 'saham' saya dalam bidang ini. Yang lain, antara saya dan Allah," katanya.

Dalam pada itu, pelakon yang terkenal menerusi filem Muhsin itu turut menyindir netizen apabila turut mempersoalkan mengenai hukum Islam.

Walaupun watak yang dibawa Subhanallah... jijiknya di mata manusia. Itulah tugas saya. Tak dapat banyak, sedikit pun jadilah. Itu 'saham' saya dalam bidang ini.

SYAFIE NASWIP

Pelakon

"Niat tidak menghalalkan cara... tapi macam mana dengan cara anda sekarang? Melambangkan niat anda?

"Kasihan ibu dan ayah kamu kalau dengar anak-anak jadi begini," sindirnya.

Telefilem berjudul Demi Tuhan Aku Bersaksi mengisahkan tentang seorang maknyah yang ingin kembali ke pangkal jalan dan kembali bertaubat serta mendalami ilmu agama.

Watak maknyah yang dipegang Syafie Naswip akhirnya membuat keputusan masuk ke pusat tahfiz.

Namun ketika berada di institusi itu, dia dihina dan dikeji sebagai pengikut kaum Luth.

Bagaimanapun, beberapa hari lalu gambar dan sinopsis Demi Tuhan Aku Bersaksi ini tersebar di laman sosial sehingga ia menerima kecaman netizen kerana dianggap tidak sensitif gara-gara memilih elemen budaya hidup songsang di dalam sebuah pusat keagamaan.

Artikel Lain