suria

“Malas nak buat filem... tak laku” - Rosyam Nor pilih drama, bisnes pasar raya yang lebih untung

Rosyam Nor terus menghasilkan drama selain memberi tumpuan kepada perniagaan.

PELAKON dan penerbit Datuk Rosyam Nor memberitahu buat masa ini dia tidak berminat untuk menerbitkan sebarang filem di bawah syarikat miliknya, Suhan Movies & Trading Sdn Bhd.

Rosyam, 52, berkata rezeki dan tuah perniagaannya bukan dalam dunia perfileman justeru memilih untuk memberi tumpuan menghasilkan drama serta bisnes peruncitan.

"Ramai tanya, tak nak buat filem ke? Saya memang tak ada rancangan nak buat filem sebab saya tak ada luck buat filem, tak laku... lagipun buat filem kena lebih fokus dan ambil masa lama.

ARTIKEL BERKAITAN: “Saya malu dengan rakan kongsi saya” - Rosyam Nor sedih digelar ‘barua’, akui hanya miliki 10 peratus saham

ARTIKEL BERKAITAN: Bisnes makin berkembang, tapi Rosyam Nor mahu terus berlakon selagi ada permintaan

"Jadi lebih baik saya fokus hasilkan drama dan perniagaan peruncitan. Sebab tu malas nak buat filem, kita buat yang mana menguntungkan sahaja.

"Lakonan saya masih teruskan dan jika ada tawaran sesuai saya pasti tak menolak. InsyaAllah tak lama lagi filem lakonan saya Motif dan J Revolusi 2 akan menemui penonton," katanya kepada mStar.

Rosyam Nor masih menerima tawaran lakonan filem dan drama.

Rosyam ditemui semasa tayangan perdana filem pendek Warung Kami yang diadakan di mmCineplex, eCurve, Petaling Jaya, Selangor pada Khamis.

Filem pendek berdurasi lapan minit itu memaparkan mengenai realiti kehidupan seorang bapa yang terlalu sibuk mengejar waktu demi masa depan anak lelakinya.

Warung Kami merupakan cetusan idea daripada Pengarah Urusan Sri Ternak Group Of Companies, Datuk Raymond Ho dengan kerjasama ST Rosyam Mart.

Filem arahan Jermenn Yip itu boleh ditonton di saluran YouTube bermula pada Khamis.

Rosyam sebelum ini menubuhkan produksi RK Screen Sdn Bhd dan menerbitkan dua filem iaitu Balistik dan Isyarat Cinta.


Rosyam (tengah) bersama barisan penerbit, pengarah dana pelakon filem pendek Warung Kami.

Menerusi Suhan Movies & Dramas pula, dia menerbitkan puluhan drama popular untuk siaran televisyen antaranya, 30 Pesanan Suara, Selafaz Cinta, Cik Reen Encik Ngok Ngek, Jangan Benci Cintaku dan banyak lagi.

Bercakap mengenai perniagaan ST Rosyam Mart, pelakon filem KL Gangster 2 ini memberitahu pasar raya itu menerima sambutan hebat pelanggan sejak ia tular tahun lalu.

"Lepas viral dengan macam-macam tuduhan, mengaitkan saya dengan pelbagai fitnah dan isu perkauman... saya fikirkan bisnes ini akan terganggu, tapi rupanya makin ramai orang datang.

"Rezeki semakin luas dan saya percaya jika kita berbuat baik dan mempermudahkan kehidupan orang lain akan ada balasan daripada Allah," katanya.

Pasar raya ST Rosyam Mart yang dibuka 24 jam sehari mula beroperasi di Setiawangsa sejak pertengahan tahun 2018.

ST Rosyam Mart merupakan cubaan pertama Rosyam membuka pusat borong dengan usahasama syarikat Sri Ternak Group Sdn Bhd.

Rosyam Nor

Artikel Lain