Bisnes makin berkembang, tapi Rosyam Nor mahu terus berlakon selagi ada permintaan - Hiburan | mStar

Bisnes makin berkembang, tapi Rosyam Nor mahu terus berlakon selagi ada permintaan

Rosyam simpan impian untuk menjadi seorang jutawan di masa hadapan.

KUALA LUMPUR: Pelakon Datuk Rosyam Nor tidak akan bersara daripada dunia lakonan biarpun kini mengembangkan bidang perniagaannya menerusi pembukaan pasaraya ST Rosyam Mart.

Rosyam atau nama sebenarnya Mohamed Noor Shamsuddin, 51, berkata dia akan meneruskan kerjaya sebagai pelakon selagi ada permintaan.

Malah, dia tidak mahu melupakan rezeki yang diperolehnya ketika bergelar pelakon memandangkan bidang itu adalah minatnya.

"Selama 36 tahun saya berlakon dan saya tidak akan berhenti berlakon. Rasanya kalau tak ada lakonan, saya tak akan jadi diri saya sekarang.

"Saya tidak akan lupakan dunia lakonan kerana itulah titik permulaan saya.

Rosyam tidak akan berhenti berlakon.

"Sebab saya memang minat berlakon. Saya akan teruskan berlakon selagi orang memerlukan khidmat saya sebagai pelakon," katanya kepada mStar Online.

Rosyam ditemui ketika majlis SALE-A BRATION ST Rosyam Mart di  Pejabat Tingkat 1, Ruang Parkir, Dewan Sri Iskandar, Taman Setiawangsa pada Sabtu.

Tambah Rosyam, dia kini lebih menumpukan untuk menghasilkan filem berbanding drama yang memerlukan masa yang agak lama.

"Sekarang ini saya limitkan lakonan dan tumpu pada filem sahaja. Tiga filem lakonan saya sudah pun siap dan akan ditayangkan tahun hadapan.

"Kalau lihat saya berlakon drama pun mungkin setahun sekali untuk hari raya sahaja.

Pasaraya milik Rosyam dan rakan kongsinya, Sri Ternak Sdn Bhd.

"Saya tak nak ambil tawaran berlakon drama sebab ambil masa yang lama," ujarnya.

Dalam pada itu, pelakon filem KL Gangster 2 ini mahu menjadi inspirasi kepada peminatnya bukan sahaja dalam bidang seni tetapi juga dalam perniagaan.

"Saya bukan seorang yang berpendidikan tinggi dan datang daripada keluarga susah.

"Sebab itu, saya mahu berkongsi pengalaman perjalanan hidup kepada peminat yang majoritinya masyarakat Melayu.

"Macam mana sekali pun perlu bekerja keras untuk mencapai sesuatu impian. Saya bukan sahaja mahu menjadi inspirasi dalam bidang seni tapi juga dalam bidang perniagaan," katanya.

Rosyam Nor

Lebih Artikel