Julia Farhana akui Erwin Darson calon suami terbaik, namun tidak tergesa-gesa nak kahwin - Hiburan | mStar

Julia Farhana akui Erwin Darson calon suami terbaik, namun tidak tergesa-gesa nak kahwin

Julia dan Erwin belum menetapkan tarikh untuk melangsungkan majlis pernikahan mereka.

PELAKON Julia Farhana memberitahu kekasihnya yang juga aktor, Erwin Darson sudah bertemu ibunya bagi meluahkan hasrat untuk mereka sah bergelar suami isteri.

Bagaimanapun, Julia atau nama sebenarnya Julia Farhana Marin, 24, berkata setakat ini, mereka masih belum ada tarikh untuk melangsungkan majlis pernikahan.

Menurutnya, dia dan Erwin tidak tergesa-gesa untuk berkahwin kerana masing-masing kini sibuk dengan karier lakonan.

ARTIKEL BERKAITAN: Julia Farhana nyaris jadi mangsa gangguan seksual pengarah terkenal


Julia bersedia untuk berkahwin pada awal tahun hadapan.

"Saya dan Erwin sudah bertemu keluarga masing-masing. Malah, dia juga ada berjumpa dengan ibu dan memberitahu hasratnya untuk berkahwin dengan saya.

"Tapi masih belum ada perbincangan mengenai tarikh untuk mengadakan majlis pernikahan. Maklumlah, kami berdua sama-sama ada komitmen dalam karier seni yang perlu diselesaikan dulu.

"Kami juga tidak mahu tergesa-gesa untuk berkahwin kerana Erwin juga merancang untuk membawa kedua ibu bapanya menunaikan ibadah umrah terlebih dulu," katanya kepada mStar Online.


Erwin calon suami terbaik untuk Julia.

Dalam pada itu, pelakon drama bersiri Salon ini mengakui sudah bersedia untuk mengakhiri zaman solonya dengan pelakon kelahiran Singapura itu awal tahun hadapan.

Kata Julia, Erwin adalah calon yang terbaik selepas lebih setahun mereka mengenali hati budi masing-masing.

"Sebelum ini, saya pernah mengeluarkan kenyataan tidak mahu bercinta dengan golongan artis tetapi nampaknya jodoh saya akhirnya dalam bidang lakonan juga.

"Saya terima Erwin kerana personalitinya yang banyak bersabar dengan diri saya. Dia juga memiliki ciri-ciri untuk menjadi suami dan ketua keluarga yang baik," ujarnya.

Julia Farhana , Erwin Darson

Artikel Berikut

Sharnaaz Ahmad dedah sebab pilih Jebat!

Artikel Berkaitan

Artikel Lain