Isteri Iedil Putra, Prisia Nasution jelaskan belum sedia timang anak kerana terikat kontrak

Prisia dan Iedil merancang untuk tidak mempunyai anak buat masa kini.

ISTERI kepada pelakon Iedil Putra iaitu Prisia Nasution memberitahu dia tidak merancang untuk mempunyai cahaya mata dalam masa terdekat disebabkan masih terikat dengan beberapa kontrak.

Prisia, 35, berkata dia dan suaminya tidak meletakkan anak sebagai keutamaan buat masa kini namun mereka mungkin akan merancang untuk membesarkan lagi keluarganya pada tahun hadapan.

ARTIKEL BERKAITAN: Keluarga tidak beri tekanan kepada Iedil Putra untuk punyai zuriat selepas 3 tahun kahwin

"Sebenarnya ada beberapa kontrak yang memerlukan saya tidak boleh mempunyai anak buat masa sekarang. Lagipun, rancangan saya dan suami sekarang ketepikan soal anak dahulu.

Prisia antara teruja utama filem televisyen Suatukala: Timun Mas & Ijo yang ditayangkan di Astro First bermula pada Khamis.

"Kami pun baru tiga tahun berkahwin dan mahu fokus pada karier terlebih dahulu. Insya-Allah, kemungkinan tahun depan la kami akan cuba untuk dapatkan anak," katanya kepada mStar.

Aktres yang berasal dari Indonesia ini ditemui ketika majlis pra tonton dan sidang media filem televisyen Suatukala: Timun Mas & Ijo di TGV One Utama, Petaling Jaya, pada baru-baru ini.

Menerusi laporan mStar pada 26 Mac lalu, Iedil memberitahu dia dan isterinya tidak mempunyai isu berkaitan zuriat malah keluarga juga memahami keadaan itu biarpun mereka sudah tiga tahun berkahwin.

Prisia dan Iedil mendirikan rumah tangga di Bogor, Indonesia pada 1 Jun 2016 dan mereka pernah berlakon bersama menerusi filem Interchange pada 2016.

Prisia dan Iedil tidak meletakkan sebarang syarat untuk menerima tawaran.

Sebelum ini, Prisia pernah berkahwin dengan Ananda Haris Siregar dan bercerai pada 4 Januari 2012.

Dalam pada itu, Prisia mendedahkan dia dan pelakon filem My Stupid Boss 2 itu tidak pernah meletakkan sebarang syarat atau garis panduan untuk menerima sebarang tawaran berlakon.

"Tiada syarat atau garis panduan untuk saya dan dia sebabnya kerjaya kami sememangnya adalah pelakon dan kami sentiasa profesional apabila melibatkan kerja.

"Dia boleh terima apa sahaja tawaran atau watak dan begitu juga saya. Lagipun, kami pun berjumpa sewaktu sama-sama berlakon, jadi kenapa perlu ada sekatan mengenai perkara itu," ujarnya.

Prisia Nasution, Iedil Putra

Artikel Berkaitan

Artikel Lain