Keluarga tidak beri tekanan kepada Iedil Putra untuk punyai zuriat selepas 3 tahun kahwin - Hiburan | mStar

Keluarga tidak beri tekanan kepada Iedil Putra untuk punyai zuriat selepas 3 tahun kahwin

Iedil Putra mendirikan rumah tangga pada Jun 2016 di Bogor, Indonesia.

PELAKON Iedil Putra berkata dia dan isterinya iaitu aktres Indonesia, Prisia Nasution, 34, tidak mempunyai isu berkaitan zuriat biarpun hampir tiga tahun mendirikan rumah tangga.

Iedil, 33, berkata, keluarga tidak pernah memberi tekanan dan memahami keadaan tersebut.

"Kami tiada masalah tentang anak kerana ibu bapa kami tidak pernah beri tekanan untuk kami dapatkan zuriat. Mereka terima sahaja jika kami sudah bersedia.

"Ia berbeza dengan lakonkan dalam filem BU yang bakal ditayangkan tidak sama dengan kehidupan saya sekarang.

"Dalam filem itu menggambarkan pasangan suami-isteri yang menerima tekanan daripada keluarga mereka, ia mewakili tipikal ibu bapa di Asia," ujarnya kepada mStar Online.

Pelakon filem Interchange ini ditemui pada sesi fotografi nagi mempromosikan filem BU di Menara Star baru-baru ini.

Iedil Putra berulang alik Malaysia ke Indonesia.

Iedil dan Prisia Nasution berkahwin di Bogor, Indonesia, pada I Jun 2016.

Dalam pada itu, Iedil berkata, dia menguruskan kehidupan rumah tangganya dengan baik biarpun terpaksa berulang-alik Malaysia dan Indonesia.

Katanya, ia bukan sesuatu yang sukar berikutan penerbangan ke negara jiran itu hanya mengambil masa dua jam sahaja.

"Saya berulang alik, jika ada kerja saya balik ke Malaysia, jika tidak saya berada di Indonesia.

"Paling lama kami tidak bertemu kira-kira sebulan ketika saya menjalani penggambaran di luar negara," ujarnya.

Kata pelakon teater Ola Bola itu, dia juga sedang mencuba nasib di industri lakonan Indonesia.

"Filem pertama saya di Indonesia ialah My Stupid Boss dan sekuel filem itu akan ditayangkan tidak lama lagi, ia adalah langkah pertama saya untuk mencari ruang di sana.


Iedil dan Rashidi Ishak membintangi filem BU.

"Saya ada hadiri beberapa uji bakat untuk filem dan sinetron. Sekarang saya sedang belajar bercakap bahasa Indonesia dengan isteri," ujarnya.

Bercakap tentang filem BU, Iedil berkata, dia menerima tawaran berkenaan berikutan jalan cerita kekeluargaan yang kurang diketengahkan dalam filem tempatan.

Katanya, filem yang mengisahkan tiga cerita diarahkan oleh pengarah baharu yang berbakat besar iaitu Jeany Amir.

"Sebab utama saya menerima tawaran ini kerana filem ini bertemakan kekeluargaan yang kurang diketengahkan dalam filem," ujarnya.

Filem berkenaan turut dibintangi oleh Remy Ishak, Rashidi Ishak, Nadiya Nisaa dan Nadia Brian.

Iedil Putra , BU

Artikel Lain