suria

Impian Shuhaimi Lua arah filem tak kesampaian, produksi tarik diri saat akhir “Modal bayar skrip hangus!”

Shuhaimi kecewa impian untuk bergelar pengarah filem tidak kesampaian. Foto Instagram @shuhaimilua_director

PENERBIT dan pengarah Shuhaimi Lua meluahkan perasaan kecewa dan terkilan apabila impiannya untuk mengarahkan filem pertama tidak kesampaian.

Shuhaimi berkata penggambaran yang sepatutnya bermula awal Oktober ini terpaksa dibatalkan berikutan produksi terbabit menarik diri pada saat akhir.

"Sejujurnya saya sangat terkilan apabila impian untuk mengarah filem pertama berjudul Lelaki Langsuir tidak kesampaian apabila pihak produksi yang bersetuju memberi dana dan menerbitkan filem tersebut menarik diri.

ARTIKEL BERKAITAN: "Siapa Kata Saya Digam Stesen TV?" - Shuhaimi Lua

ARTIKEL BERKAITAN: Shuhaimi Lua Diserang Strok Ringan Kerana 'Lara Cinta Ameena'

"Mereka membatalkan projek tersebut di saat akhir dan silapnya tak ada perjanjian hitam putih, jadi tak boleh nak buat apa, saya terpaksa menerima keputusan itu dengan hati penuh kecewa.

"Sedih tu memang sedih... semuanya sudah dirancang tapi tak kesampaian! Sejujurnya sampai hari ini saya masih berharap projek itu dapat diteruskan," katanya kepada mStar.

Shuhaimi mahu kembangkan karier sebagai pengarah filem.

Dalam pada itu, Shuhaimi memberitahu dia sudah melakukan proses pra produksi dan menyenaraikan pelakon yang akan membintangi filem tersebut.

Selaku pengarah dan pencetus idea asal, dia turut membelanjakan sejumlah wang untuk membayar penulis skrip dan keperluan yang lain.

"Saya dah tolak beberapa tawaran mengarah drama, malah pelakon yang dipilih juga sudah isi jadual penggambaran.

Kalau ikutkan semuanya sudah hampir siap, kita dah buat skrip, tempah mekap artis, lokasi penggambaran dan semuanya!

SHUHAIMI LUA

Pengarah

"Apabila projek ini batal, secara tidak langsung sudah menyusahkan banyak pihak termasuklah pelakon dan kru produksi yang terbabit.

"Kalau ikutkan semuanya sudah hampir siap, kita dah buat skrip, tempah mekap artis, lokasi penggambaran dan semuanya. Bukan sahaja kerugian wang ringgit, malah masa!," ujarnya.

Sungguh pun begitu, Shuhaimi berkata dia masih meletakkan harapan dan kepercayaan tinggi bahawa projek filem tersebut akan diteruskan.

Drama arahan Shuhaimi Lua menerima sambutan dan tontonan tinggi.

Dia turut optimis filem genre komedi seram masih mendapat tempat di hati penonton Malaysia dan tidak mustahil menerima kutipan pecah panggung.

"Saya masih letak harapan filem ini akan terhasil satu hari nanti, justeru itu saya perlukan bantuan mana-mana pihak yang sudi menjadi sebahagian tenaga produksi bagi merealisasikan filem tersebut.

"Kalau ada yang berminat untuk bekerjasama dengan kami bolehlah hubungi saya dan berbincang mengenai projek ini.

"Saya percaya filem komedi seram ini memiliki kelompok peminat tersendiri dan jalan ceritanya juga berlainan daripada filem yang pernah kita tonton sebelum ini," kata pemilik produksi Tanah Beris Film Production ini.

Shuhaimi Lua

Artikel Lain